Saturday, March 1, 2014

Tuntung Laut Diancam Kepupusan, Kata Pegawai WWF-Malaysia

Gambar hiasan...penduduk kampung Mangkuk, Setiu melepaskan tuntung pada 2012.
Populasi Tuntung Laut diancam kepupusan apabila pendaratan spesies itu mengalami penurunan dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.

Pegawai Kanan Biologi World Wide Fun for Nature (WWF-Malaysia), Program Pemuliharaan Penyu Terengganu Sharifah Ruqaiyah Syed Mustafa berkata pada 2013, hanya 69 ekor tuntung laut mendarat di Pantai Setiu berbanding 114 ekor tahun 2009.

"Tuntung Laut sedang menghadapi ancaman kepupusan yang sangat kritikal yang mana pendaratan spesies ini semakin menurun dari tahun ke tahun, dan ini sangat membimbangkan kita.

"Hal ini perlu dipandang serius yang mana spesies ini merupakan spesies yang unik di mana mereka hanya mendiami muara dan bahagian pasang surut sungai," katanya kepada pemberita di Pusat Penetasan Penyu dan Tuntung Kampung Penarik Baru Setiu bersempena program Gotong-Royong Untuk Penyu dan Tuntung kelmarin.

Beliau berkata bagi memastikan kelangsungan Tuntung Laut, amalan pemakanan telur haiwan itu yang masih berleluasa serta pembangunan di tebing sungai dan pantai, yang menjadi kumpulan reptilia berkenaan, perlu dihentikan selain kesedaran orang ramai berkaitan kepentingan menjaga spesies ini harus dipertingkat.

"Kita sangat bimbang jika semakin sedikit Tuntung yang naik untuk bertelur kerana lama-kelamaan spesies ini akan semakin berkurangan dan tidak ada langsung... kita tak mahu semua ini terjadi," katanya.

Dalam perkembangan lain, Sharifah Ruqaiyah berkata bilangan penyu yang mendarat di Pantai Setiu untuk bertelur kian meningkat dalam tempoh lima tahun. " ... pada tahun 2009, kita mendapati hanya 99 ekor penyu yang mendarat dan jumlah itu semakin meningkat dari tahun ke tahun, dan pada tahun lepas, sebanyak 330 ekor penyu kita kesan melalui kerjasama dengan Jabatan Perikanan Terengganu dan WWF-Malaysia," katanya.

Program gotong-royong itu menyaksikan sejumlah 150 peserta mengambil bahagian membersih kawasan pantai yang menjadi lokasi pendaratan penyu dan tuntung.

Program anjuran bersama WWF-Malaysia dan Persatuan Wanita Kampung Mangkok Setiu (Pewanis) itu turut disertai murid Sekolah Kebangsaan Mangkok (40 orang), Pewanis (20), Majlis Daerah Setiu (10), Mahasiswa Universiti Malaysia Terengganu (42), kakitangan Inap Desa D'Jungle dan Penarik Inn (14) serta penduduk kampung.

No comments:

Post a Comment