Saturday, March 1, 2014

Persatuan Homestay T'ganu Hantar 120 Pelajar Ikuti Program Pertukaran A/bangsa

Persatuan Homestay Negeri Terengganu akan menghantar 120 pelajar sekolah menengah di negeri itu mengikuti Program Pertukaran Pelajar Antarabangsa ke Indonesia dan Singapura tahun ini.

Pengerusinya Md Azmi Ab Aziz berkata program yang dilaksana dengan kerjasama Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan cawangan Terengganu itu akan dilaksana dalam empat siri bermula April hingga September depan.

"Mereka akan berada di Indonesia dan Singapura selama seminggu dan belajar di sekolah di sana selama beberapa hari. Diharapkan dalam tempoh itu mereka akan mempelajari perkara baharu," katanya kepada pemberita, di Kuala Terengganu, semalam.

Katanya program akan membabitkan pelajar antaranya dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Nilam, SMK Matang, SMK Tengku Bariah, SMK Agama Tok Jiring dan Sekolah Menengah Sains Terengganu.


"Kita telah memilih beberapa sekolah terbaik di daerah yang akan kita pergi iaitu Kota Sawahlunto, Kota Deli Serdang, Medan, Palembang serta sebuah sekolah di Singapura," katanya.

 Md Azmi berkata pelajar yang terpilih akan mengikuti kursus terlebih dahulu sebelum menyertai program berkenaan.

Kursus tersebut bagi melengkapi diri pelajar dengan pengetahuan tentang tempat yang hendak dituju selain kursus bahasa Inggeris, katanya.

Beliau juga berkata pelajar yang menyertai program tersebut akan dikenakan yuran RM500 untuk menampung sebahagian kos perjalanan manakala selebihnya ditanggung persatuan itu.

Sementara itu seorang peserta, Maria Fazira Mohd Zulfazli, pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Sains Kuala Terengganu berkata peluang berkunjung ke negara asing sukar diperoleh.

 "Saya akan ke Palembang pada September ini," katanya yang teruja dapat menyertai program tersebut. "Saya juga mahu mempelajari cara pembelajaran di sana dan sekurang-kurangnya saya akan merasai pengalaman tinggal di tempat orang walaupun hanya sekejap," katanya lagi.

No comments:

Post a Comment