Sunday, March 16, 2014

UPM Pindah Rumah Tradisional Terengganu Ke Muzium Warisannya Di Serdang

Rumah Bujang Berselasar (Serambi), sebuah rumah tradisionhal Melayu lama Terengganu, menjadi pilihan Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk dipindah ke Muzium Warisan Melayu universiti itu di Serdang, Selangor.

Pengarah Muzium Warisan Melayu UPM Dr Muhammad Pauzi Abd Latif berkata rumah itu yang dianggar berusia 150 tahun dan terletak di Kampung Tanjung di Kuala Terengganu, merupakan satu daripada empat jenis rumah tradisional Melayu terkenal di negeri ini, antaranya ialah rumah bujang berpeleh, rumah te'le dan rumah limas potong Belanda.

"Rumah yang masih mengekalkan seni bina asal itu dibina sendiri oleh pemilik asalnya, Wan Muda Wan Hassan, yang merupakan seorang tukang perahu selain pandai membuat barang-barang tembaga," katanya kepada pemberita semalam.

Beliau berkata UPM mengambil masa kira-kira enam bulan bagi mengenal pasti rumah itu dengan dibantu muzium dan kerajaan negeri Terengganu.


Rumah itu diserah kepada UPM oleh pemiliknya ketika ini iaitu Wan Ahmad Hassan Wan Abdullah, 57, yang merupakan cucu kepada Allahyarham Wan Muda.

"Rumah ini diserahkan secara rasmi oleh Wan Ahmad Hassan pada dua minggu lalu untuk dipulihara serta dibaik pulih dan akan ditempatkan di Muzium Warisan Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM," katanya.

Muhammad Pauzi berkata kerja-kerja yang berlangsung selama tiga hari oleh lima pakar dari Indonesia sejak semalam turut disertai Pensyarah Kanan Jabatan Seni Bina UPM Dr Mohamad Fakri Zaky Ja'afar.

Beliau berkata dianggarkan antara 10 hingga 15 peratus daripada strukutur rumah itu perlu diganti termasuk tiang, lantai dan atap, oleh itu usaha memasang semula rumah berkenaan dijangka siap dalam tempoh tiga bulan lagi.

Keunikan rumah bujang berselasar adalah kerana tidak ada bilik selain mempunyai ruang serambi dinamakan selasar dan kebanyakan struktur binaannya tidak menggunakan paku sebaliknya pasak yang menjadikan rumah itu lebih teguh serta tahan.

"Rumah ini dibina dengan seni bina ukiran Melayu yang menarik, kami sudah membuka beberapa rumah sebelum ini dan ternyata ia begitu unik dan sekaligus dapat melengkapkan model kediaman tradisional bagi zon timur.

"Hanya pemindahan dan pemuliharaan sahaja yang akan dapat menyelamatkan rumah Melayu lama ini daripada terus musnah dan agar ia terus terpelihara menjadi tatapan generasi akan datang," katanya sambil menambah sebelum ini UPM memindahkan rumah Datuk Raja Diwangsa di Seri Menanti, Negeri Sembilan dan Rumah Ngah Pandak di Bota Kiri, Perak.

No comments:

Post a Comment