Wednesday, March 19, 2014

Yayasan Sultan Mizan Peruntuk RM2 Juta Bantu Usahawan

Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) memperuntukkan kira-kira RM2 juta setahun untuk membantu golongan kurang berkemampuan menjalankan perniagaan.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM, Datuk Mohd Fadzli Yusof, berkata sejak lima tahun lalu dana di bawah program bantuan perniagaan itu telah membantu 600 usahawan.

"Bantuan yang disalurkan itu tertumpu kepada peralatan berbanding wang tunai. YDSM membantu mereka berniaga dengan berkonsepkan memberi mereka joran, bukannya ikan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Kem Kecemerlangan Insan anjuran YDSM di Kuala Terengganu, semalam.

Katanya, sebahagian besar pengusaha yang memperolehi bantuan itu telah berjaya dalam bidang masing-masing. Kebanyakan mereka mengusahakan tanaman cendawan, makanan, jahitan, ternakan serta latihan kemahiran.

Mohd Fadzli berkata, bantuan itu terbuka kepada orang ramai, tetapi mereka perlu menjalani sesi temuduga terlebih dahulu.

"Yayasan menerima sumbangan daripada pelbagai pihak dan sebagai pemegang amanah kita akan pastikan hanya mereka yang benar-benar layak mendapat kemudahan tersebut," katanya.

Mengenai Program Kem Kecemerlangan Insan yang pertama kali diadakan itu, beliau berkata, ia adalah untuk memberi motivasi kepada usahawan di samping mengenal pasti masalah yang dihadapi.

Menurutnya, YDSM juga akan bekerjasama dengan jawatankuasa peguam negeri untuk menyediakan bantuan khidmat guaman Syariah, terutama untuk membantu golongan wanita yang menghadapi masalah rumah tangga.

No comments:

Post a Comment