Wednesday, March 19, 2014

Pegawai RELA Didakwa Buat Tuntutan Palsu RM13,500

Seorang pegawai RELA dihadapkan di Mahkamah Seksyen di Kuala Terengganu, semalam atas dua tuduhan mengemukakan tuntutan palsu berhubung penyediaan makanan dan minuman dan perkhidmatan kanopi bernilai RM13,500, hampir tiga tahun lalu.

Nor Arzaman Mohd Ali, 53, didakwa mengemukakan tuntutan palsu kepada majikannya, Pejabat RELA Daerah Setiu, bagi program penubuhan platun remaja RELA pada 30 September hingga 1 Oktober 2011.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan selepas tuduhan dibacakan dihadapan Hakim Mohd Azhar Othman.

Bagi tuduhan pertama, dia didakwa membuat tuntutan palsu bagi penyediaan makanan dan minuman bernilai RM8,500 dan tuduhan kedua membuat tuntutan palsu bagi penyediaan 10 kanopi dan 460 kerusi dengan nilai RM5,000.

Nor Arzaman didakwa mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(2) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan dia boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai tuntutan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh manakala tertuduh diwakili peguam Nik Mohd Radhia Nik Abdul Ghani. Mahkamah menetapkan 17 April ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

No comments:

Post a Comment