Monday, April 14, 2014

1,600 Rakyat Besut Dan Hulu Terengganu Sertai Program Empower 2014

Seramai 1,600 rakyat Terengganu di daerah Besut dan Hulu Terengganu bakal menerima manfaat hasil pelaksanaan program Empower kendalian Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) yang diperluaskan ke dua daerah di negeri ini tahun ini.

Pengurus Kanan Bahagian Pembangunan Sosial ECERDC, Mohd Prasad Hanif berkata menerusi Program Latihan Akademik, pihaknya memilih 400 pelajar lemah di setiap daerah untuk diberi bimbingan secara percuma.

"Ini berikutan kejayaan program ini tahun lepas di Kemaman dan Dungun yang mencatatkan kejayaan lulus 100 peratus dalam semua matapelajaran dalam semua peperiksaan utama.

"Program Latihan dan Keusahawanan juga memberi peluang kepada 400 peserta di setiap daerah dengan keutamaan diberi kepada ibu tunggal, penganggur dan suri rumah yang mahu mencari pendapatan tambahan," katanya kepada pemberita selepas perasmian seminar Menangani Stres di Kemaman, kelmarin.

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Air Putih, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar merasmikan seminar itu yang disertai 500 guru dari sekitar Kemaman.

No comments:

Post a Comment