Monday, April 14, 2014

Dua Lelaki Dipercayai Pengedar Dadah Ditahan Di Terengganu

Polis menahan dua lelaki kerana dipecayai memiliki dan mengedar heroin dan pil kuda di Kampung Kuala Bekah di sini Khamis lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Superintendan Md Tahir Kasim berkata, dalam serbuan kira-kira 12.30 tengah malam itu, polis menemui satu botol serbuk putih yang dipercayai dadah jenis heroin dan 30 biji pil methamphetamine dari poket seluar salah seorang suspek.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut di rumah suspek, pihak polis turut menjumpai satu beg plastik yang mengandungi 10 paket plastik yang setiap peket mempunyai 200 biji pil kuda.

"Kita turut berjaya menamui satu botol heroin 2.5 gram dan kita percaya kesemua dadah ini untuk diedarkan di sekitar Durian Burung dan Kuala Terengganu.

“Selain dadah, kita juga turut menyita wang tunai berjumlah RM80,000, sebuah motosikal jenis Yamaha RXZ dan sebuah kereta perodua Mywi yang dipercayai hasil jualan dadah,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang akhbar di Kuala Terengganu, semalam.

Menurutnya, kedua suspek yang berumur 29 tahun dan 23 tahun itu dipercayai aktif menjalankan kegiatan mengedar dadah yang dibekalkan dari negara jiran.

Beliau berkata, suspek utama yang berusia 29 tahun itu turut mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah pada tahun 2010 dan kembali aktif menjalankan kegiatan itu.

Kedua suspek kini ditahan reman sehingga 17 April untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah seksyen Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya dan jika sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori.

No comments:

Post a Comment