Monday, April 14, 2014

Belia Perlu Terlibat Lebih Aktif Dalam Aktiviti - Jailani

Belia di negeri Terengganu disarankan supaya lebih aktif dan sentiasa menyokong aktiviti yang dijalankan kerajaan mahupun badan bukan kerajaan, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari.

Beliau yang juga Anggota Parlimen Hulu Terengganu berkata belia merupakan penentu masyarakat Malaysia pada masa depan dan peranan mereka tidak boleh dipandang enteng mana-mana pihak, termasuk pemimpin masyarakat.

"Saya menyeru kepada belia agar mengambil peluang dan mengambil bahagian dalam program yang dianjurkan bagi memajukan diri ke arah yang lebih baik dan buanglah sifat malas yang ada, kerana golongan belialah akan mencorakkan masa depan negara," katanya dalam ucapan sempena majlis penutup Karnival Fiesta Mesra Belia 1 Malaysia peringkat daerah Hulu Terengganu malam kelmarin.

Katanya, kini terdapat sejumlah 11.9 juta belia iaitu merangkumi 41.5 peratus jumlah keseluruhan penduduk Malaysia yang menjadi nadi penting kepada pembangunan negara

 Beliau berkata lebih banyak program akan diadakan di kawasan Parlimennya pada masa depan, agar golongan belia dapat bergiat lebih aktif.

No comments:

Post a Comment