Kerajaan Terengganu merancang untuk membina sebuah lagi sekolah menengah agama di kawasan Air Putih, Kemaman bagi memenuhi keperluan rakyatnya.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Tugas-tugas Khas negeri Ghazali Taib berkata langkah itu membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam memperkasa pendidikan aliran agama.
Kerajaan negeri sentiasa berusaha menampung keperluan rakyat yang mahu anak-anak mereka mengikuti pendidikan aliran agama, katanya menjawab soalan Sathiful Bahari Mamat (PAS-Paka) (kiri) pada persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu, di Kuala Terengganu, semalam.
Menjawab soalan tambahan Sathiful Bahari, Ghazali menyangkal dakwaan kerajaan negeri tidak berlaku adil dalam pemilihan pelajar ke tingkatan satu di Sekolah Menengah Imtiaz kerana turut mengambil penuntut yang memperoleh 4A 1B dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) semata-mata dia anak anggota Umno.
"Sebanyak 4,800 permohonan diterima dan daripada jumlah itu 2,100 layak diproses namun hanya 408 orang diambil," katanya sambil menegaskan kesemuanya memperoleh 5A dalam UPSR.
"Tidak ada seorang calon pun yang dapat 4A 1B diterima masuk. Dia mesti dapat 5A dan lulus hafazan yang bagus selain lulus bahasa Arab dan ujian IQ. Kita dah buat saringan dan masuk dalam data," katanya.
No comments:
Post a Comment