Wednesday, April 16, 2014

Dewan:Kenaikan Kadar Lesen Perniagaan Di Dungun Tidak Bermaksud Membebankan Rakyat

Kenaikan kadar lesen perniagaan yang dikenakan terhadap peniaga di daerah Dungun adalah bergantung kepada jenis perniagaan yang dijalankan dan bukannya bermaksud untuk membebankan rakyat.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said, berkata adalah mustahil sekiranya peniaga-peniaga yang sudah lama berniaga dan berjaya mendapat keuntungan daripada perniagaan mereka tidak mampu membayar kadar kenaikan lesen perniagaan.

"Sekiranya mereka mempunyai sebuah stesen minyak, mereka sudah lama mendapat keuntungan daripada perniagaan tersebut dan untuk membayar kenaikan harga lesen perniagaan sebanyak 100 peratus pun, mustahil mereka tidak mampu," kata Ahmad ketika menjawab soalan Wan Hapandi Wan Nik (PAS-Sura) pada persidangan Dewan Undangan Negeri ke-13 semalam.

Beliau berkata, kenaikan kadar lesen perniagaan tersebut bertujuan bagi menampung segala keperluan yang telah ditanggung oleh kerajaan negeri selama ini.

Ahmad Said berkata, kerajaan negeri sudah hampir 10 tahun tidak menaikkan kadar lesen perniagaan dan peniaga-peniaga perlu patuh kepada peraturan yang sudah ditetapkan sekiranya berlaku sebarang kenaikan harga samada kenaikan kadar lesen atau bayaran sewa premis.

Beliau berkata, peniaga-peniaga di Dungun perlu akur dengan cukai dan peraturan yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

Ahmad Said berkata, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM17.5 juta kepada pihak berkuasa tempatan dan sebanyak RM16.82 juta telah dibelanjakan oleh Majlis Daerah Dungun bagi kerja-kerja membaikpulih dan lain-lain lagi.

"Masih ada baki sebanyak RM0.68 juta tetapi kita harus ingat, walaupun masih mempunyai baki yang agak banyak, kita tidak boleh menggunakan baki peruntukan tersebut untuk menampung peniaga-peniaga ini kerana peruntukan sebanyak RM17.5 juta itu termasuk dengan gaji pekerja pihak berkuasa tempatan," katanya

No comments:

Post a Comment