Wednesday, April 16, 2014

Dewan: Kerajaan Terengganu Bakal Kaji Punca Hakisan Pantai

Kerajaan negeri Terengganu akan bekerjasama dengan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar untuk mengkaji tentang punca sebenar hakisan pantai yang berlaku di sekitar Lapangan Terbang Sultan Mahmud. 

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya dan Pengangkutan, Rosli Othman, berkata kajian yang terperinci akan dilakukan secepat mungkin pada tahun ini berikutan dengan hakisan pantai yang semakin teruk.

"Kerajaan persekutuan telah melantik satu "consultant" bagi melaksanakan projek untuk menyekat hakisan pantai ini pada tahun lalu tetapi kerana berlaku sedikit masalah, (projek) tangguh sehingga tahun ini," katanya ketika menjawab soalan Hishamuddin Abdul Karim (PAS-Tepuh) pada persidangan Dewan Undangan Negeri ke-13 di Kuala Terengganu, semalam.

Rosli berkata, hakisan pantai yang berlaku tidak boleh disabitkan 100 peratus dengan projek pembesaran lapangan terbang kerana setiap projek yang dilaksanakan akan diteliti dahulu kesannya.

Sementara itu, Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu, Prof Emeritus Datuk Dr Ibrahim Kamoo, berkata pihaknya akan menubuhkan pasukan penyelidik bagi mengkaji bencana banjir dan hakisan pantai di kawasan pantai timur.

"Untuk kajian masalah hakisan pantai, kita turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Perparitan dan Saliran," katanya.

No comments:

Post a Comment