Sunday, April 27, 2014

ECER Tarik Pelaburan Sebanyak RM24.45 Bilion Pada Suku Pertama 2014

 Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) berjaya menarik pelaburan sebanyak RM24.45 bilion ke Wilayah Ekonomi Pantai Timur pada suku pertama 2014, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, kelmarin.

Beliau berkata ECER telah menarik RM63.58 bilion dalam jumlah pelaburan dari 2007 sehingga suku pertama tahun ini, melepasi lebih daripada 57 peratus daripada sasaran pelaburannya yang sebanyak RM110 bilion menjelang 2020.

"Pelaburan ini akan mewujudkan lebih daripada 65,000 peluang pekerjaan untuk rakyat, yang terdiri daripada 6,601 profesional, 19,800 pekerja mahir dan 39,599 pekerja separa mahir di ECER," kata Najib pada majlis penyerahan rancangan alam sekitar utama di negeri-negeri dalam ECER diPutrajaya.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata Pahang telah menarik pelaburan paling banyak pada RM30.46 bilion setakat ini, dengan potensi untuk mewujudkan 38,027 pekerjaan.

"Ini diikuti oleh Terengganu dengan RM22.77 bilion dalam pelaburan (16,638 pekerjaan), Kelantan dengan RM9.74 bilion (11,121 pekerjaan) dan daerah Mersing di Johor pada RM610 juta (211 pekerjaan)," katanya.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Besar Pahang, Terengganu, Kelantan dan Johor.

Sementara itu, dalam satu kenyataan hari ini, ECERDC berkata tiga bakal pelabur pada suku kedua 2014 dengan gabungan potensi pelaburan di Terengganu sebanyak RM9.5 bilion, turut hadir pada majlis kelmarin.

HKS Mineral JV Hyundai Merchant Marine dengan pelaburan potensi sebanyak RM6.6 bilion menerima surat kelulusan tanah daripada Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said pada majlis itu.

Geomegah China Steel (M) Sdn Bhd (RM2.1 bilion) dan Angsana Platinum Sdn Bhd (RM800 juta) bertukar memorandum persefahaman dengan kerajaan negeri.

Beijing Goldenway Biologi Tech Co Ltd (BGB), pengeluar asid biohumik terbesar dunia, merancang untuk mendirikan kilang pembuatan di Pahang bernilai RM600 juta untuk menghasilkan asid humik, sejenis bioperangsang untuk pemulihan tanah.

"Sg Lembing telah dikenal pasti sebagai lokasi berpotensi untuk kilang pertamanya di ECER," kata ECERDC. Pertukaran dokumen bagi cadangan kerjasama untuk projek itu telah dilaksanakan ECERDC bersama-sama dengan Malaysian Biotechnology Corporation Sdn Bhd dan BGB.

Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC Datuk Jebasingam Issace John berkata pembangunan projek rel di pantai timur masih pada peringkat perancangan awal.

"Projek itu masih dalam kajian dan dalam enam bulan kita akan tahu butir-butir pelaksanaan projek ini," katanya

No comments:

Post a Comment