Tuesday, April 8, 2014

JTM Lulus 87 Kerja Tambahan Akibat Kelewatan Proses Pembekalan Peralatan

Jabatan Tenaga Manusia (JTM) meluluskan 87 kerja tambahan berkaitan pemasangan peralatan bagi tiga Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) iaitu di Taiping (Perak), Kemaman (Terengganu) dan Jerantut (Pahang) bernilai RM3.45 juta akibat kelewatan proses pembekalan peralatan.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara, Tahun 2013, Siri 1 yang dibentangkan di Dewan Rakyat di Kuala Lumpur, semalam, jarak masa yang lama dari tarikh bangunan disiapkan dengan tarikh peralatan pembelajaran dibekalkan iaitu antara 299 hingga 1,080 hari merupakan antara faktor kerja tambahan perlu dilaksanakan.

"Pembinaan bangunan institusi adalah berdasarkan kepada spesifikasi peralatan yang ditetapkan pada tahun 2007 dan 2008, namun spesifikasi peralatan ini telah dikaji semula pada tahun 2011 bagi menyesuaikannya dengan keperluan semasa.

 "Perubahan spesifikasi telah menyebabkan kerajaan terpaksa mengeluarkan perbelanjaan tambahan bagi menyesuaikan keadaan bengkel dengan peralatan menyebabkan kelewatan dalam proses pembekalan peralatan," menurut laporan itu.

Antara punca kelewatan pembekalan peralatan adalah kerana beberapa kelemahan antaranya kontrak perolehan peralatan yang tidak mempunyai jadual perbatuan di dalam kontrak yang menyebabkan pemantauan tidak dapat dijalankan dengan berkesan.

Menurut laporan itu, JTM juga meluluskan kerja tambahan di ADTEC Jerantut yang tidak berkaitan dengan pemasangan peralatan atau kontrak pembekalan peralatan bernilai RM1.38 juta.

"Terdapat peralatan bagi kursus yang sama telah dibekalkan dengan jenama, model, spesifikasi dan harga yang berbeza serta daripada negara pengeluar berbeza (menyebabkan pertukaran wang asing yang menyumbang kepada harga peralatan menjadi mahal).

" Pada tahun 2009 hingga 2011, sebanyak lima Institut Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM) iaitu Adtec Taiping, Kemaman, Jerantut dan Bintulu (Sarawak) serta Institut Latihan Perindustrian (ILP) Marang, Terengganu telah siap dibina dengan kos RM698.61 juta.

Sehubungan itu Kementerian Kewangan telah melantik enam kontraktor untuk membekalkan peralatan secara rundingan terus dengan harga dipersetujui berjumlah RM291.97 juta.

Bagaimanapun selain dari kelemahan tersebut, pihak audit menyatakan Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan JTM telah mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan proses perolehan peralatan pembelajaran berjalan dengan lancar dan mematuhi peraturan ditetapkan.

"Antaranya dengan mengadakan 'pengurusan nilai' bagi mengkaji kaedah 'terbaik untuk nilai wang' dalam proses perolehan, memberi penurunan kuasa dan melantik jawatankuasa rundingan harga, melaksanakan proses rundingan berdasarkan peraturan yang ditetapkan, menetapkan asas rundingan serta mendokumenkan keputusan mesyuarat rundingan dengan teratur," jelas laporan berkenaan.

Bagi mengatasi kelemahan tersebut, pihak audit mencadangkan KSM dan JTM memastikan pemantauan dijalankan secara berkesan bagi memastikan pembekalan peralatan dapat disempurnakan dalam tempoh kontrak.

Audit juga mencadangkan pihak terbabit menyelaraskan perolehan peralatan pembelajaran dengan kemajuan kerja pembinaan bangunan bagi mengelak kerajaan menanggung pembelanjaan tambahan.

Selain itu turut disyorkan agar diwujudkan pangkalan data yang menyimpan maklumat lengkap mengenai model, spesifikasi dan harga bagi peralatan yang dibekalkan kepada institusi di bawah JTM bagi mewujudkan keseragaman dalam penentuan model, spesifikasi dan harga peralatan.

No comments:

Post a Comment