Tuesday, April 15, 2014

Kayuhan Kenyir Mulakan Promosi Festival Kenyir 2014 Hujung Bulan Ini

Kerajaan Terengganu dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) akan menganjurkan Festival Kenyir 2014 selama sebulan mulai 29 April bertempat di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu.

Pengurus Besar Ketengah Wan Mat Amin Wan Daud berkata festival berkenaan merupakan antara program yang disenaraikan Kementerian Pelancongan dalam kalendar Tahun Melawat Malaysia 2014 (TMM 2014) di Terengganu.

"Antara objektif penganjuran festival itu ialah untuk mempromosikan Tasik Kenyir sebagai satu daripada destinasi pelancongan utama di negara ini selain meningkatkan kedatangan pelancong ke Tasik Kenyir dan negara.

"Ia juga diadakan untuk menarik pelaburan syarikat-syarikat swasta dari dalam dan luar negara untuk membuat pelaburan yang akan menguntungkan Tasik Kenyir dan negara amnya," katanyasemalam.

Wan Mat Amin berkata dalam memastikan penganjuran Festival Kenyir 2014 ini mendapat sambutan yang baik daripada semua lapisan masyarakat, pelbagai promosi dilakukan dari semasa ke semasa.

Beliau berkata elemen promosi ini diharap akan memberi pendedahan awal dan menyebarluaskan acara yang akan berlangsung selama tempoh berkenaan. Katanya acara Kayuhan Festival Kenyir 2014 merupakan satu daripada usaha yang dirancang bagi merancakkan elemen promosi itu.

Wan Mat Amin berkata kayuhan santai ini akan diadakan pada Rabu bermula di Dataran Batu Burok dan berakhir di Pekan Kuala Berang sejauh kira-kira 40km yang akan disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Terengganu Datuk Mohd Jidin Shafie.

Beliau berkata ia dijangka disertai 200 peserta melibatkan jabatan kerajaan dan kelab-kelab basikal di negeri itu. Katanya pada kayuhan itu, peserta turut mengagih-agihkan risalah Festival Kenyir 2014 kepada orang ramai.

No comments:

Post a Comment