Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu mengenepikan penghakiman ingkar dengan denda RM2 juta yang dikenakan ke atas Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini.
Timbalan Pendaftar, Mohamad Nasrudin Mohamed menyampaikan keputusan itu dalam kamar di mahkamah, hari ini.
Sebelum ini, mahkamah sama menjatuhkan hukuman denda RM2 juta ke atas Hadi berikutan kegagalan memfailkan pembelaan terhadap saman yang dibuat oleh bekas calon PKR bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Mohd Shamsul Mat Amin.
Susulan itu, Hadi melalui peguamnya Asmuni Awi membuat permohonan untuk mengenepikan keputusan itu.
Mahkamah menetapkan hari ini untuk memberikan keputusannya selepas penghujahan kedua-dua pihak dibuat pada 30 Mac lalu
Shamsul yang tidak hadir ke mahkamah hari ini diwakili oleh peguam, A Vasudevan manakala Hadi yang juga tidak hadir diwakili oleh Asmuni dan Zuber Embong.
Pada 23 Februari lalu, Mahkamah Tinggi memerintahkan Hadi membayar ganti rugi RM2 juta kepada Shamsul selepas gagal memasukkan kehadiran bagi menjawab saman yang dikemukakan plaintif pada 5 Disember tahun lalu.
Shamsul mengambil tindakan itu selepas Hadi mengeluarkan kenyataan ada calon PKR yang menjual pil kuda menjelang pilihan raya umum sebagai alasan untuk PAS meletakkan calonnya bertanding di DUN Bukit Besi sehingga menyaksikan berlaku pertandingan tiga penjuru.
Dalam pernyataan tuntutannya, beliau mendakwa ucapan Hadi dalam ceramah di Kampung Tebakang Alor Limbat, Marang pada 22 April 2013 menjatuhkan maruahnya dan keluarga serta menjejaskan reputasinya sebagai calon dan ahli perniagaan.
No comments:
Post a Comment