Wednesday, April 30, 2014

Kementerian Sumber Manusia Sediakan RM330 Juta Untuk PTPK

Kementerian Sumber Manusia memperuntukkan RM330 juta tahun ini kepada Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) bagi membolehkan lebih 18,000 pelajar swasta mengikuti program kemahiran di seluruh negara.

Timbalan Menterinya Datuk Ismail Abd Mutalib berkata, dengan adanya dana pendidikan kemahiran, lebih banyak peluang program dan pendidikan kemahiran dapat ditawarkan kepada para pelajar.

"Kini ramai pelajar memilih untuk mengikuti program teknikal dan vokasional kerana ia memenuhi keperluan industri dan menawarkan pasaran kerja yang lebih luas dengan pendapatan yang tinggi," katanya dalam ucapan ketika Majlis Konvokesyen ShowMe International College 2014.

Teks ucapan beliau dibacakan Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran Wilayah Timur Wan Fadillah Wan Dagang.

Ismail juga menggesa para pelajar untuk menyertai pertandingan kemahiran serantau dan antarabangsa supaya belia negara mendapat peluang untuk mencapai tahap kemahiran bertaraf dunia.

Beliau berkata penyertaan pelajar dalam pertandingan itu juga dapat mendedahkan peserta dan pegawai kepada teknologi dan teknik kerja serta latihan yang terkini dan menanda aras tahap kemahiran negara.

"Melalui penganjuran Karnival dan Ekspo Kemahiran Kebangsaan di Serdang tahun lepas dapat meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap bidang kemahiran dan seterusnya mampu melonjakkan ekonomi negara memandangkan tenaga kerja mahir dan terlatih merupakan aset kepada negara yang sedang mengalami transformasi model ekonomi baru," katanya.

No comments:

Post a Comment