Wednesday, April 30, 2014
Sektor Pelancongan Bakal Jadi Tulang Belakang Kepada Sumber Ekonomi Terengganu
Sektor pelancongan bakal menjadi tulang belakang kepada sumber ekonomi kerajaan negeri Terengganu dan tidak akan memfokuskan kepada sektor minyak dan gas semata-mata, kata Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.
Katanya, pengembangan sektor pelancongan di negeri ini dapat diukur dengan pembinaan hotel-hotel yang semakin giat dijalankan, menunjukkan bahawa terdapat permintaan yang tinggi daripada pelancong yang berkunjung ke Terengganu.
"Dengan pembinaan satu lagi hotel bertaraf lima bintang di Terengganu, ini membuktikan kerajaan peka dan komited untuk menyediakan pelbagai kemudahan penginapan kepada para pelancong," katanya.
Semalam (28 April), Success Circle Sdn Bhd, syarikat pelaburan swasta terkemuka, melalui Success Diar Sdn Bhd sudah memulakan pembinaan resort mewah antarabangsa bernilai RM300 juta dan bertaraf lima bintang, Movenpick Hotels and Resorts, di tapak seluas 18.2 hektar di Chendering.
Projek itu dijangka siap pada akhir Disember 2015.
Ahmad Said berkata, aktiviti-aktiviti di peringkat antarabangsa yang dianjurkan kerajaan negeri juga mampu memberi impak positif kepada pelancongan negeri.
"Festival (di peringkat antarabangsa) juga sekali gus menjana pendapatan semua penggiat industri pelancongan seperti sektor perhotelan, penyediaan makanan serta pengangkutan," katanya.
Sementara itu, Pengurus Besar Hotel Felda Residence Terengganu, Azhar Sanusi berkata festival-festival antarabangsa yang dianjurkan merupakan landasan terbaik kepada semua penggiat industri pelancongan untuk memperkenalkan serta mempromosi produk yang dihasilkan mereka.
"Festival ini juga memberi pelbagai manfaat khususnya dari segi tempahan bilik yang meningkat sepanjang festival itu serta membantu mengembangkan lagi promosi hotel di Terengganu. "Jika kita lihat lazimnya hotel di Terengganu akan penuh pada musim cuti persekolahan.
Namun, setiap kali berlangsungnya festival antarabangsa, ia mampu memberi pulangan kepada pengusaha pusat penginapan malah penduduk setempat juga dapat menjana pendapatan melalui produk yang dijual," katanya.
Menurutnya, sepanjang festival itu juga pihak hotel mampu mempelbagaikan inisiatif seperti memperkenalkan tempat penginapan serta sajian makanan yang dihidangkan kepada para pengunjung.
"Pengusaha hotel juga berpeluang menghidangkan sajian makanan tradisional yang terdapat di Terengganu seperti nasi dagang, ketupat sotong dan keropok lekor," katanya.
Sementara itu, Penolong Pengarah Pemasaran Hotel PrinzPark, Annie Wong Pooi Leng, berkata pihaknya menyokong usaha kerajaan negeri untuk menganjurkan festival di peringkat antarabangsa setiap tahun bagi meningkatkan lagi industri pelancongan di Terengganu.
"Ia (festival di peringkat antarabangsa) bukan sahaja memberi keuntungan kepada kami (pengusaha hotel) malah membantu peniaga makanan, pembuat cenderamata, nelayan dan pengusaha bot," katanya.
No comments:
Post a Comment