Kompleks Usahawan Terengganu (KUT) dekat Kubang Jela di Kuala Terengganu, akan dirasmikan pada 1 Jun depan, kata Pengerusi Jawatankuasa Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Kepenggunaan dan Koperasi negeri Terengganu, Roslee Daud.
Katanya, tarikh itu dipilih dengan andaian semua ruang niaga dan ruang pejabat di kompleks itu dapat dipenuhkan dalam tempoh dua bulan lagi.
"Perasmian itu juga serentak dengan pelancaran Karnival dan Ekspo Usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) mulai 29 Mei hingga 14 Jun depan.
"Karnival ini akan disertai usahawan IKS dari dalam dan luar Terengganu, agensi keusahawanan negeri dan pusat serta badan korporat dari seluruh negara," katanya semalam.
KUT yang dibina dengan kos lebih RM21 juta itu adalah satu ikon baharu dalam sektor keusahawanan di Terengganu.
Ia mula dibina pada Oktober 2008 dan siap sepenuhnya pada Februari 2012.
Kompleks itu akan menjadi pusat sehenti yang menempatkan pusat beli-belah, outlet Batik Terengganu, Pasar ICT dan gedung perniagaan pelbagai produk IKS.
Roslee berkata, sebahagian daripada kompleks ini telah beroperasi dengan pembukaan Kota Batik yang menempatkan 18 usahawan.
"Di tingkat bawah juga ditempatkan Al Bakry T'Kafe, restoran berkonsepkan masakan Arab telah mula beroperasi sejak Januari 2013," katanya
Sesuai dengan visi kerajaan Terengganu untuk menjadikan rakyat negeri ini celik teknologi maklumat, tingkat satu menempatkan Pasar ICT.
Menurutnya, tingkat dua pula menempatkan Inkubator Batik yang dijadikan pusat latihan, pembuatan asas dan demonstrasi pembuatan batik canting dan blok.
"Ia akan menjadi daya tarikan kepada pengunjung untuk melihat proses pembuatan batik di Terengganu," katanya.
No comments:
Post a Comment