Thursday, April 24, 2014

Pulau Bidong - Terengganu Tunggu Butiran Kementerian Pertanian

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata kerajaan Terengganu menunggu cadangan kerajaan Pusat mengenai hasrat mewartakan Pulau Bidong sebagai pusat pembiakan terumbu karang secara komersial.

Katanya, kerajaan negeri sedang menunggu butiran terperinci daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani berhubung cadangan itu.

"Kementerian terbabit perlu kemukakan usul kepada kerajaan negeri dahulu kerana kita masih tidak jelas tentang manfaat yang bakal dinikmati nelayan menerusi pembiakan terumbu karang itu.

"Keputusan lanjut akan dibuat berasaskan laporan daripada Jabatan Perikanan dan sekiranya mereka kata boleh dilaksanakan barulah kita setuju kerana kerajaan negeri tidak mahu masalah lain timbul terutama isu pencemaran dan sebagainya," katanya.

Semalam Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika melawat pulau bekas penempatan pelarian Vietnam era 70-an hingga awal 90-an itu berkata kementerian akan berbincang dengan kerajaan negeri untuk mewartakan Pulau Bidong sebagai pusat pembiakan terumbu karang secara komersial.

Dalam perkembangan lain, Ahmad berkata mesyuarat kerajaan negeri juga sebulat suara bersetuju untuk mewartakan keseluruhan kawasan Rantau Abang dianggarkan 100 hektar yang kaya dengan tanaman pokok gelam sebagai kawasan hutan simpan sepenuhnya.

"Dahulu kita ambil sebahagian sahaja (diwartakan kawasan hutan simpan), sekarang sepenuhnya kerana hutan pokok gelam ini merupakan suatu keunikan yang lazimnya hanya terdapat di Terengganu," katanya.

No comments:

Post a Comment