Friday, April 25, 2014

Lebih 500 Nelayan Dungun Terima Bantuan Sara Hidup

Sebanyak 579 orang nelayan di kawasan Parlimen Dungun Khamis menerima bantuan sara hidup sebanyak RM200 seorang daripada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Pengerusi Majlis Partanian Parlimen Dungun (MPPP) Datuk Din Adam berkata bantuan tersebut melibatkan peruntukan melebihi RM115,000.

"Kita harap bantuan ini akan digunakan nelayan terbabit untuk persiapan menghadapi bulan puasa," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaan bantuan tersebut dan pelancaran Pasar Peladang Dungun.

Din yang juga anggota lembaga pengarah LKIM berkata bantuan tersebut menggambarkan kerajaan begitu prihatin terhadap nasib para nelayan.


Beliau juga berkata kerajaan sedang berusaha meningkat taraf hidup nelayan melalui pelbagai program seperti penubuhan pasar nelayan.

Mengenai pelancaran pasar itu, Din berkata ia digerakkan LKIM dan Lembaga Pertubuan Peladang dalam usaha menangani kos sara hidup masyarakat.

Contohnya, harga ikan tongkol di pasar biasa dijual dengan harga RM12 seekor tetapi di pasar tersebut dijual RM10 seekor, katanya.

Beliau berkata barangan yang dijual di pasar peladang merupakan barangan segar yang didatangkan terus dari ladang.

Kesemua 15 buah pertubuhan peladang di Terengganu akan mewujudkan pasar peladang mulai sekarang, katanya.

No comments:

Post a Comment