Friday, April 25, 2014

TNB Peruntuk RM33.3 Juta Sedia Infrastruktur Bantu Terengganu Tarik Pelabur

Bagi membantu kerajaan Terengganu mempertingkat dan memperkukuhkan pelaburan, Tenaga Nasional Berhad (TNB) memperuntukkan perbelanjaan modal berjumlah RM33.3 juta tahun ini untuk menyediakan infrastruktur dan rangkaian kabel yang lengkap.

 Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Seri Azman Mohd berkata, peruntukan itu juga melibatkan infrastruktur pada pencawang-pencawang TNB bagi memastikan bekalan elektrik di negeri ini sentiasa berada pada tahap daya harap yang tinggi.

"Daripada jumlah itu, sebanyak RM3 juta diperuntukkan untuk memperkukuhkan sistem bekalan elektrik di daerah Kuala Terengganu.

"TNB sentiasa mengambil kira rancangan pembangunan kerajaan dan akan terus meningkatkan prestasi bekalan elektrik agar berdaya saing untuk menarik pelabur-pelabur sama ada dalam atau luar negara ke Terengganu," katanya.

Teks ucapannya dibacakan Pengurus Besar Kanan (Operasi Wilayah 2) TNB, Abdul Aziz Abdul Majid pada program TNB Bersama Komuniti peringkat negeri Terengganu yang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Negeri Ahmad Razif Abdul Rahman.

Turut hadir Pengurus Besar TNB Terengganu Ir Saharenam Mukhtar dan Pengarah Kawasan Suruhanjaya Tenaga Kawasan Negeri Kelantan/Terengganu Nora Ab Ghani.

Azman berkata, TNB akan terus komited meningkatkan kecekapan perkhidmatan dengan memberikan khidmat penyamapaian yang pantas dan efisien.

"Servis yang pantas ini adalah bagi memastikan permohonan dan permintaan bekalan baharu serta pemasangan sistem bekalan elektrik dapat dilaksanakan mengikut keperluan pelanggan.

"Segala permohonan akan dilaksanakan TNB mengikut garis masa yang diperlukan oleh pelanggan," katanya.

Sementara itu dalam perkembangan lain Abdul Aziz berkata, bagi program Baiti Jannati (rumahku syurgaku), TNB akan membina 12 buah rumah untuk orang miskin di negeri ini dengan peruntukan RM600,000.

Katanya, rumah-rumah yang berharga kira-kira RM50,000 sebuah itu masing-masing tiga buah dibina di bawah kelolaan Empangan Hidro Sultan Mahmud Tasik Kenyir dan Stesen Jana Elektrik Sultan Ismail di Paka dan selebihnya di bawah kelolaan TNB Wilayah.

No comments:

Post a Comment