Sunday, April 27, 2014

Maybank Bakal Naik Taraf Tiga Pusat Perkhidmatan Di Pantai Timur

Maybank Wilayah Pantai Timur akan menaik taraf tiga pusat perkhidmatan kepada bank sepenuhnya menjelang akhir tahun ini dalam usaha memenuhi permintaan pelanggan yang semakin meningkat.

Pengarah Wilayah bagi negeri Pahang, Kelantan dan Terengganu, Abd Halim Lehan, berkata setakat ini dua pusat perkhidmatan Maybank telah dinaik taraf kepada bank.

"Kita telah mengenal pasti sebuah lagi pusat yang akan dinaik taraf di Kelantan. Ini sekali gus dapat melonjakkan perolehan bank dan memenuhi keperluan pelanggan," katanya ketika ditemui pada Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2014 di Kuala Terengganu, kelmarin.

Dengan menaik taraf dua pusat di Karak dan Bandar Tun Abdul Razak Jengka, Pahang itu, Abd Halim berkata Maybank Wilayah Pantai Timur kini mempunyai 31 cawangan di Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Abd Halim juga menjangka pelanggannya di pantai Timur akan bertambah berikutan promosi sepanjang program MSAM 2014.

Menurutnya, pembiayaan berlandaskan prinsip Syariah mendapat permintaan tinggi daripada penduduk pantai Timur yang mana ia menyumbang 63 peratus kepada perolehan Maybank wilayah ini," katanya.

Beliau berkata, cawangan Maybank di Bandar Tun Abdul Razak Jengka mencatat pertumbuhan positif sejak dinaik taraf.

Setakat ini Maybank Wilayah Pantai Timur mempunyai sejuta pelanggan terdiri daripada pelanggan kad kredit dan Maybank Islamic.

MSAM 2014 yang bertemakan 'Pelaburan 360 PNB' berlangsung sehingga 27 April ini menampilkan konsep segar, muda dan baharu dengan konsep taman tema.

No comments:

Post a Comment