Sunday, April 27, 2014

Mohd Zamri Tagih Tiket Ke ACC 2014

Pelumba negara, Mohd Zamri Salleh bersedia mewakili negara dalam acara lepas beramai-ramai pada Kejohanan Lumba Basikal Asia 2014 (ACC 2014) di Astana, Kazakhstan, bulan depan.

Mohd Zamri, yang sebelum ini terpalit dengan kontroversi Sukan SEA 2013 di Myanmar, berkata beliau akan memberi komitmen dan tumpuan sepenuhnya sekiranya diberi peluang menyertai pasukan negara pada kejohanan itu.

"Saya tidak pernah hilang semangat untuk berkayuh bersama pasukan negara pada kejohanan di peringkat antarabangsa seperti ACC 2014.

"Kalau diberi peluang, saya berjanji akan berikan persembahan 100 peratus," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM). Mohd Zamri, yang mewakili Angkatan Tentera Malaysia (ATM), muncul pemenang Kejohanan Final Grand Prix Kebangsaan 2013 (GP Final 2013) sejauh 167.2 km dengan catatan masa empat jam 15 minit 45 saat pada perlumbaan di Bukit Katil, Melaka, pada Sabtu.


Gelaran naib juara menjadi milik Mohd Nor Umardi Rosdi daripada pasukan benua Terengganu Cycling Team (TSG) manakala rakan sepasukan, Nur Amirull Fakhruddin menduduki tempat ketiga. Sementara itu, Mohd Zamri turut dinobatkan juara keseluruhan Siri Grand Prix Kebangsaan 2013 (GP Kebangsaan 2013) selepas mengutip 44 mata.

Mohd Shahrul Mat Amin daripada pasukan TSG pula naib juara dengan 40 mata manakala rakan sepasukan, Nur Amirull Fakhruddin Mazuki menduduki tempat ketiga dengan 39 mata.

No comments:

Post a Comment