Monday, April 7, 2014

MB Berhak Campuri Urusan Bola Sepak - Ahmad Said


Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata beliau berhak mencampuri urusan bola sepak kerana kerajaan negeri mengeluarkan dana besar untuk menanggung perbelanjaan pasukan Terengganu dan T-Team dalam pertandingan Liga Super.

"Semua Menteri Besar berhak ke atas pasukan negeri masing-masing kerana dana terbesar untuk perbelanjaan setiap pasukan adalah daripada kerajaan negeri dan bukan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)," katanya.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM Datuk Taufek Abdul Razak yang menyatakan Menteri Besar itu tidak kena mengena dengan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) dalam isu 'insiden terowong'.

Ahmad Said membidas jawatankuasa itu berhubung keputusan mengenakan denda RM30,000 ke atas Johor Darul Ta'zim (JDT) atas 'insiden terowong' di Stadium Larkin Johor, pada 1 Feb lepas.

Menteri Besar itu berkata jawatankuasa itu membuat keputusan terpilih atau 'pilih bulu' kerana hanya menjatuhkan hukuman denda terhadap JDT kerana gagal menyediakan kawalan keselamatan di stadium sehingga mencetuskan insiden itu.

Beliau meluahkan rasa tidak puas hati dengan jawatankuasa tersebut kerana gagal mengenal pasti atau menghukum individu yang mengasari pemain import T-Team, Evaldo Goncalves dan jurulatih kecergasan Stefano Impagilazo.

"FAM juga adalah hak milik rakyat Malaysia. Bola sepak ini hak milik orang ramai," katanya kepada pemberita selepas merasmikan WiFi Terbuka Terengganu di lapangan terbang Sultan Mahmud di sini hari ini. Justeru , katanya beliau tidak akan berganjak dengan kenyataannya tempoh hari yang meminta Jawatankuasa Tataterbib FAM letak jawatan jika tidak berani atau malu untuk bertindak.

 'Insiden terowong' itu berlaku pada perlawanan pusingan kedua Piala FA antara T-Team dengan JDT di Stadium Larkin. T-Team enggan meneruskan babak kedua perlawanan itu dan FAM kemudian memberi kemenangan 3-0 kepada JDT.

No comments:

Post a Comment