Thursday, April 24, 2014

Nawi - Tak Perlu Tukar MB Terengganu Yang Berwibawa

Mohd Johari (kanan)...Pemuda UMNO Negeri Terengganu ikrar sokong Ahmad Said.
Seorang anggota Exco Terengganu Nawi Mohamad tampil menangkis spekulasi bahawa Datuk Seri Ahmad Said akan digantikan dengan menteri besar baru.

Nawi...MB Berwibawa
Beliau yang menyokong kewibawaan Ahmad Said untuk terus mengetuai pentadbiran negeri tersebut berkata, pertukaran berkenaan tidak perlu dilakukan buat masa ini.

Nawi yang merupakan antara nama yang disebut-sebut sebagai bakal pengganti Ahmad Said juga cuba menggambarkan bahawa suasana politik dalam Umno di negeri itu kini harmoni.

Beliau yang turut ditanya sekiranya isu pertukaran MB itu timbul disebabkan prestasi BN bawah pentadbiran Ahmad Said dalam pilihan raya umum lalu berkata, ia hanya satu isu yang sengaja ditimbulkan oleh parti lawan.

"Terengganu tidak perlu ada pertukaran MB... Berita hanya spekulasi politik pembangkang dan berita dari orang yang tidak suka dengan politik di Terengganu yang harmoni sekarang," katanya melalui pesanan SMS kepada Malaysiakini.
Ahmad Razif

Spekulasi bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan menggantikan dua menteri besar dari parti tersebut pada awalnya dibangkitkan dalam satu tulisan dalam lidah parti itu, hujung minggu lalu.

Spekulasi itu semakin berkembang dan perhatian kini tertumpu kepada Terengganu.

Seorang lagi anggota Exco Rozi Mamat semalam menafikan bahawa beliau disebut-sebut sebagai pengganti Ahmad.

Nama Nawi pula disebut dalam satu laporan akhbar berbahasa Cina Sin Chew Daily, yang turut membangkitkan dua lagi nama ADUN, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman (Seberang Takir) dan Datuk Mohd Jidin Shafee (Permaisuri).
Mohd Jidin

Akhbar harian itu, yang memetik sumber tidak dinamakan, mendakwa Ahmad Said tidak lagi menjadi pilihan untuk meneruskan khidmat sebagai MB selepas pilihan raya umum Mei 2013.

Namun, sumber tesebut juga bimbang sekiranya Ahmad Said akan menyokong parti pembangkang jika menteri besar tersebut disingkirkan dari jawatan tersebut, lapor Sin Chew.

Kebimbangan tersebut memandangkan BN Terengganu berjaya membentuk pentadbiran di negeri itu dengan hanya kelebihan dua kerusi, berbanding 15 kerusi PAS.

Dalam pilihan raya tersebut, prestasi Umno bawah pentadbiran Ahmad itu jauh merosot berbanding 24 kerusi yang dimenangi dalam pilihan raya umum ke-12.

Sementara itu, sokongan ke atas pentadbiran Ahmad turut disuarakan Ketua Pemuda Umno negeri, Mohd Johari Abu Bakar yang berharap ia dapat membantu parti itu mengekalkan pengaruh dalam pilihan raya umum akan datang.

"Sekarang kami mahu bekerja keras dan mengikut apa saja yang diarahkan oleh ketua kami.

"Kami Pemuda Umno Terenganu berdiri teguh di belakang Datuk Seri walau apapun terjadi kerana kami ingin memastikan Umno/BN Terengganu cemerlang pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 nanti," katanya seperti dipetik dalam laporan Bernama.

Mohd Johari berkata pada PRU-14 nanti terdapat kira-kira lima juta pengundi baharu di seluruh negara yang akan keluar mengundi.

Malaysiakini

No comments:

Post a Comment