Dua keluarga nyaris maut selepas rumah kedai empat pintu milik mereka di Jalan Nibong di sini hangus dalam kebakaran awal semalam.
Kejadian kira-kira pukul tiga pagi itu turut memusnahkan masing-masing dua pintu kedai menjual alat ganti kenderaan serta sebuah kedai makan.
Pemilik kedai makan, Raja Kamariah Wan Jusoh, 55, berkata, ketika kejadian dia bersama dua anaknya berusia 23 dan 26 tahun sedang tidur di dalam sebuah bilik berasingan yang terletak di bahagian belakang kedai makannya itu.
"Saya kemudiannya berlari keluar dan membuka pintu hadapan kedai untuk menyelamatkan barangan namun terkejut setelah melihat api sudah marak membakar dan merebak ke kedai bersebelahan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.
Dalam keadaan cemas itu mangsa sempat mengejutkan jiran sebelah yang menjalankan perniagaan menjual alat ganti sebelum lima beranak itu terkejut melihat rumah kedai yang didiami mereka terbakar dan bergegas menyelamatkan diri.
"Kejadian berlaku amat pantas dan saya gagal menyelamatkan harta benda, lebih menyedihkan sebuah motosikal jenis Yamaha LC135 bernilai RM8,000 yang baru dibeli serta wang simpanan hasil jualan sebanyak RM3,000 turut terbakar," katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Dungun, Nor Azizi Che Noh berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 3.30 pagi dan 10 anggota serta sebuah jentera bergegas ke tempat kejadian dan mengambil masa kira-kira 25 minit bagi mengawal kebakaran.
"Kita masih menyiasat punca kejadian serta anggaran kerugian yang dialami kedua-dua peniaga ini," katanya.
No comments:
Post a Comment