Wednesday, April 2, 2014

Pemain Pertahanan T-Team Selamat Dibedah

Pemain pertahanan import pasukan bola sepak T-Team, Fabio Flor selamat menjalani pembedahan menyambung urat ketingnya yang terputus di Subang Madical Centre semalam.

Ketua Pegawai Operasi T-Team, Mohd Shah Mat Zin berkata, pemain kelahiran Brazil itu mendapat kecederaan itu semasa T-Team bertemu Lion XII di Stadium Jalan Besar, Singapura Sabtu lepas.
 
"Alhamdulillah semuanya berjalan dengan selamat dan Fabio sekarang berada dalam keadaan baik dan sihat,” katanya semalam.

Mohd Shah berkata, Flor mungkin boleh melupakan Liga Super kerana biasanya putus urat keting mengambil masa antara tiga hingga empat bulan untuk sembuh.

Beliau berkata, ketua pasukan T-Team, Marzuki Yusof juga mengalami kecederaan dalam perlawanan itu dan mendapat enam jahitan di kepala.

Bagaimanapun katanya kecederaan Marzuki itu tidaklah begitu serius dan beliau boleh bermain untuk bertemu Pahang di sini, Sabtu ini.

Dalam pada itu beliau berkata, semalam T-Team ditimpa malang apabila pemainnya Wan Mohd Nor Alif patah tulang bahu ketika beraksi untuk pasukan Piala Presiden Terengganu. - Bernama

No comments:

Post a Comment