Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Terengganu hari ini melancarkan perkhidmatan panggilan kecemasan melalui 'Malaysia Emergency Response Services' (MERS) 999.
Pengarah JPAM Terengganu Lt. Kol. (PA) Che Adam A. Rahman berkata buat masa ini operasi itu dikendalikan oleh sembilan petugas.
"Aplikasi MERS 999 ini akan memudahkan lagi operasi bantuan penyelamat yang diselaraskan secara bersepadu antara lima agensi iaitu Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Kementerian Kesihatan, JPAM serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, " katanya kepada pemberita selepas pelancaran operasi MERS 999 di Kuala Terengganu.
Bagaimana katanya orang ramai masih boleh menggunakan talian sedia ada untuk melaporkan kecemasan kepada JPAM.
Katanya pada masa ini JPAM Terengganu menerima purata 500 hingga 600 panggilan kecemasan setiap bulan dengan 70 peratus berkaitan serangan binatang berbisa termasuk ular dan kala jengking.
Ditanya mengenai kekuatan anggota, Che Adam berkata pihaknya telah membuat pengambilan baharu 1,112 sukarelawan dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.
"Sasaran ialah 6,900 orang setiap tahun dan kami yakin dapat mencapainya," katanya.
No comments:
Post a Comment