Friday, April 11, 2014

Pertima Peruntuk RM500 Ribu Untuk Produk Makanan

Pertima Sdn Bhd, sebuah syarikat pengetinan makanan di bawah Perbadanan Memajukan Iktisad Terengganu, akan memperuntukkan RM500,000 bagi menaik taraf bidang penyelidikan dan pembangunan untuk produk makanan tahun ini.

Pengarah Urusan, Md Jasin Ismail, berkata peruntukan itu penting bagi meningkatkan pemasaran produknya dengan memperkenal lebih banyak produk baharu sekali gus meningkatkan penguasaan pasaran di dalam industri makanan dalam tin.

Beliau berkata, Pertima juga menyasar untuk mengeluarkan lebih dua juta tin bagi ketujuh-tujuh produk makanannya akhir tahun ini berbanding 1.5 juta tin tahun lalu.

Antara produk yang dihasilkan Pertima ialah ikan sardin dalam sos tomato, sambal kari ayam, sambal bilis, sambal nasi lemak, kaya, sapuan sardin dan kuah sate.

"Kita menjangka penguasaan pasaran kita dalam industri makanan dalam tin akan meningkat kepada empat peratus berbanding dua peratus tahun lalu.

"Jika dibandingkan produk kita dengan produk makanan dalam tin yang lain, produk kita masih 'kecil'. Jadi, untuk sampai sasaran empat peratus itu, kita memerlukan kepada R&D yang lebih aktif dalam memasarkan produk kita ke seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak," katanya.

Md Jasin berkata, Pertima sudah berjaya menghasilkan beberapa produk baharu seperti kuah tiga rasa dan daging sup yang bakal ditinkan untuk pasaran yang lebih luas.

Dua produk baharu dihasilkan tahun lalu ialah sapuan sardin dan kaya, namun produk itu hanya dipasarkan di kedai runcit dan belum mendapat tempat dalam pasar raya terkemuka.

"Kita sentiasa aktif menghasilkan produk baharu dan sesetengahnya sudah bersedia untuk dipasarkan ke seluruh negara," katanya lagi.

Md Jasin berkata, produk baharu yang dicipta Pertima adalah berdasarkan permintaan, keadaan serta peluang yang baharu wujud di dalam masyarakat. Beliau berkata, selain menghasilkan produk, Pertima juga mengambil kontrak mengetin produk daripada syarikat dan organisasi lain.

"Kita juga mempunyai kontrak mengetin dengan badan bukan kerajaan luar negara, khususnya mengetin daging korban untuk diagih di dalam dan luar negara," katanya lagi.

Selain itu, Pertima merancang memasarkan produknya ke luar negara seperti Singapura, Brunei, Vietnam dan Arab Saudi bermula akhir tahun ini.

Md Jasin yakin produk Pertima akan mendapat sambutan menggalakkan memandangkan ia mendapat sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia serta sijil Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) daripada Kementerian Kesihatan Malaysia.

1 comment:

  1. Assalammualaikum, sekira pihak Kilang PERTIMA bekalan ayan pencen, pihak kami boleh membekalkanya.

    Hubungi : 019-6929157

    ReplyDelete