Tuesday, April 22, 2014

Polis Mulakan Siasatan Insiden Pengurus JDT II Tumbuk Pengadil


Polis sudah mengambil keterangan On Jabbar, Pengurus Pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) II berhubung insiden kekasaran terhadap pengadil selepas tamat perlawanan saingan Liga Perdana antara pasukan itu dan UiTM FC, Sabtu lepas.

Timbalan Ketua Polis Johor Datuk Ismail Yatim berkata pihaknya memulakan siasatan menurut Seksyen 323 Kanun Keseksaan selepas menerima satu laporan polis berhubung kejadian itu.

"Kita juga akan panggil beberapa saksi bagi membantu siasatan. Ada saksi dari negeri lain jadi kita akan bekerjasama dengan polis di Kedah dan Terengganu," katanya yang ditemui pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, hari ini.

Dalam insiden itu, On dilapor menumbuk muka pengadil Sukri Abd Rahman selepas tamat perlawanan antara pasukan tuan rumah dan UiTM FC di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) yang berkesudahan seri 2-2.

On didakwa berbuat demikian ketika pemain kedua-dua pasukan keluar meninggalkan padang kerana dikatakan berang terhadap beberapa keputusan pengadilan yang dianggap tidak munasabah.

Sementara itu, On dilihat tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, di Johor Bahru pada kira-kira pukul 10 pagi hari ini.

 "Saya hadir ke sini (IPD Seri Alam) selepas dipanggil untuk memberi keterangan kepada pihak polis. Proses itu mengambil masa kira-kira 45 minit," katanya kepada pemberita kemudian. Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

Satu lain menyebut, PBNJ melucut jawatan On Jabbar sebagai Pengurus JDTII berkuatkuasa hari ini.

Pelucutan jawatan itu dibuat menerusi satu surat rasmi PBNJ ke atas On yang bertarikh 22 April 2014.

Bagaimanapun, On yang turut dikenakan denda sebanyak RM25,000 oleh PBNJ masih dikekalkan sebagai ahli exco persatuan itu.


“Menjunjung titah Tunku Mahkota Johor merangkap Presiden PBNJ, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, dukacita dimaklumkan tuan (On) telah dilucutkan daripada memegang jawatan Pengurus JDTII berkuatkuasa serta merta.

“Tindakan ini diambil berikutan insiden yang berlaku ketika perlawanan antara JDTII menentang UiTM dalam saingan Liga Perdana di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang pada 19 April lalu.

“Persatuan mengucapkan ribuan terima kasih di atas segala kerjasama, sokongan dan komitmen yang tuan berikan selama ini kepada JDTII dan PBNJ,” kata surat itu seperti disiarkan Facebook Johor Southern Tigers hari ini.

On baru-baru ini dilaporkan hilang sabar dan bertindak agresif dengan menumbuk pengadil, Sukri Abdul Rahman kerana didakwa bersikap berat sebelah semasa mengadili pertembungan JDTII menentang UiTM.

Rakaman video perlawanan menunjukkan Sukri enggan memberi sepakan penalti kepada JDTII meskipun dua kali pemain UiTM menggunakan tangan untuk menepis bola daripada memasuki gawang gol UiTM.

Hal itu mendatangkan kemarahan pengurusan dan penyokong JDTII apabila bantahan yang pengurusan JDTII buat semasa pertandingan masih berlangsung tidak dilayan oleh Sukri.

Berikutan kejadian itu, media turut melaporkan Sukri membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman, Terengganu selepas pulang ke rumahnya.

Presiden PBNJ dalam satu kenyataan mengulas insiden itu baru-baru ini pula menyelar tindakan agresif On tersebut namun dalam masa sama mengkritik mutu pengadilan dan menawarkan bantuan kepada FAM jika kekurangan dana untuk mendapatkan pengadil profesional.

No comments:

Post a Comment