Tuesday, April 22, 2014

Usahawan PPK Disaran Buka Perniagaan Di Aceh

Usahawan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di Terengganu disaran supaya melebarkan sayap perusahaan mereka ke luar negara seperti membuka rangkaian perniagaan di Aceh, Indonesia.

Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang Negeri Terengganu Shamsuddin Mat Rani berkata banyak peluang perniagaan yang boleh diteroka oleh usahawan PPK di negara berkenaan yang mempunyai bilangan penduduk ramai.

"Kita syorkan usahawan PPK di negeri ini membuka kilang membuat keropok kerana harga ikan dan bahan mentah lain di sana agak murah.

"Indonesia juga mempunyai penduduk yang ramai dan produk yang dikeluarkan dengan kapasiti yang banyak sudah pasti akan memberi keuntungan berganda kepada pengusaha," katanya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas gesaan Pengerusi Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) Datuk Seri Saipol Bahri Suib baru-baru ini, yang menggesa anggota PPK di negara ini khususnya Terengganu merebut peluang membuka perusahaan dan perniagaan di Indonesia.

Shamsuddin berkata anggota PPK yang berminat boleh mendapatkan khidmat nasihat dan pandangan berhubung perkara itu dengan mengunjungi pejabat PPK berhampiran.

Katanya terdapat 15 buah PPK dengan keanggotaan kira-kira 37,000 orang di Terengganu yang bergerak aktif dalam memberi perkhidmatan kepada ahli seperti membekalkan bahan-bahan ladang, perkhidmatan membajak dan sebagainya.

No comments:

Post a Comment