Thursday, April 10, 2014

Pulau Pinang 'Bandar Seks' - 200 Kawasan Panas Tawar Perkhidmatan

Gambar Hiasan...GRO yang ditahan pihak berkuasa.
Kerajaan Pulau Pinang perlu memberi penjelasan berhubung laporan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang mendakwa negeri ini 'bandar seks' berikutan kononnya terdapat sekurang-kurangnya 200 kawasan panas yang menawarkan perkhidmatan seks.

Ketua Pembangkang Pulau Pinang, Datuk Jahara Abdul Hamid (kanan) berkata, semua pihak terutama rakyat negeri ini mahu Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng tampil memberi penjelasan mengenai perkara itu berikutan laporan itu memberi imej buruk kepada Pulau Pinang

 "Umno mahu Guan Eng beri penjelasan mengenai perkara itu dan jika beliau enggan berbuat demikian, kami akan bangkitkan pada sidang Dewan Undangan Negeri yang akan bersidang bulan depan.

"Laporan itu bukan sahaja memberi imej buruk malah menunjukkan pihak berkuasa tempatan tidak buat kerja mereka kerana saya difahamkan 200 premis yang menawarkan perkhidmatan berkenaan mempunyai lesen dan bagaimana perkara itu boleh terjadi," katanya.

Beliau menyatakannya  kepada pemberita selepas merasmikan Program Kembara Kebajikan 1Malaysia Family Care (IMFC), di Dewan Sungai Dua, semalam.

Jahara yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (MPWKM) mengulas dakwaan Jaringan Utara Migran dan Pelarian (Jump) itu.

Laporan kajian itu berdasarkan temu bual membabitkan 172 pemandu teksi di negeri ini yang mendakwa pernah membawa penumpang ke kawasan panas berkenaan sekurang-kurangnya sekali.

Sementara itu, Polsi Pulau Pinang menafikan laporan kajian NGO yang mendakwa terdapat kira-kira 200 kawasan panas yang menawarkan perkhidmatan seks di negeri berkenaan.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi (kiri) berkata, kajian itu agak meragukan kerana ia dilakukan dalam tempoh dua minggu pada tahun 2011 dengan hanya berpandukan kepada tinjauan dengan pemandu teksi.

Beliau menafikan keras laporan kajian NGO itu yang mendakwa terdapat kira-kira 200 kawasan panas yang menawarkan perkhidmatan seks kerana ia sama sekali tidak berasas.

“Mana mungkin kajian itu dibuat dengan telus kerana hanya berdasarkan tinjauan dalam kalangan pemandu teksi. "Jika benar mahu statistik, datang berjumpa polis, kita ada semua statistik dan data lengkap,” katanya kepada media selepas merasmikan Program Bersama Cegah Jenayah Bagi Sekolah Menengah Peringkat Negeri di Universiti Sains Malaysia (USM) semalam.

Menurutnya, lokasi yang dinyatakan NGO dalam laporan kajian itu juga bukan premis haram sebaliknya mempunyai lesen yang dikeluarkan kerajaan negeri dan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP).

“Polis sentiasa memantau di pusat hiburan serta hotel malah operasi bersepadu juga sering dijalankan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan dan Kastam Diraja Malaysia.

“Operasi itu dijalankan di lokasi yang disasarkan. Polis juga menjalankan sekurang-kurangnya lima serbuan sehari sejak tahun lalu di premis yang disyaki menawarkan perkhidmatan seks,” katanya.

Sehubungan itu, polis akan memanggil pemimpin NGO berkenaan untuk diambil keterangan selain menyiasat latar belakang mereka. “Laporan kajian itu tidak adil kerana hanya dibuat secara rambang, tiada statistik tepat. Ia juga memberi imej yang buruk kepada polis, seolah-olah kita tidak buat kerja.

“Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana kegiatan jenayah. Kita amat tegas dalam mengambil tindakan jika ada bukti,” katanya.

Terdahulu, sebuah akhbar berbahasa Inggeris melaporkan sebuah NGO, Jaringan Utara Migran dan Pelarian (Jump) dalam laporan kajiannya menyatakan kira-kira 200 kawasan panas di negeri ini menawarkan perkhidmatan seks.

Menurut penyelidik Jump, Todd Morrison, sesetengah kawasan itu antaranya pusat urut, kedai gunting rambut serta hotel turut dilengkapi sistem kedudukan global (GPS) bagi memudahkannya dikesan.

Morrison berkata, laporan kajian itu berdasarkan temubual dengan 172 pemandu teksi di negeri ini yang mendakwa pernah membawa penumpang ke kawasan panas berkenaan sekurang-kurangnya sekali.

No comments:

Post a Comment