Monday, April 21, 2014

Rahmat Bagi Rahman Cari Penawar Pulih Semangat Pemain Terengganu

Tempoh rehat Liga Super selama dua minggu bagaikan rahmat bagi ketua jurulatih Terengganu Abdul Rahman Ibrahim untuk mencari penawar sebelum saingan liga bersambung awal bulan depan.

Gusar dengan masalah kurang ketahanan mental anak buahnya, pengendali pasukan itu mahu menggunakan tempoh rehat tersebut untuk memperbaiki segala kelemahan bagi memulihkan semangat dan keyakinan pasukan untuk menang.

Selepas gagal memungut mata penuh dalam tiga perlawanan, beliau berkata 'penyakit lama' iaitu kehilangan daya saing dan prestasi tidak konsisten di peringkat tinggi mula kembali semula.

Graf persembahan skuad Penyu mula menunjukkan kegoyahan dan merudum sejak kalah 2-1 kepada Sarawak diikuti seri 2-2 dengan pasukan Selangor PKNS dan semalam kalah kepada pasukan tercorot Perak 2-0 di laman sendiri.

"Saya nampak kekalahan Terengganu banyak berpunca daripada pemain-pemain hilang tumpuan, mudah luntur semangat dan secara automatik hilang tenaga dan daya saing untuk menang," katanya kepada pemberita semalam.

"Inilah penyakit kita... penyakit Terengganu yang berjangkit sejak tahun lalu yang mana tidak mampu memberi saingan selepas berada sekejap di persada liga," katanya.

Selepas menghuni persada liga untuk tempoh tertentu pada awal musim, kedudukan Terengganu menjunam ke tangga kelima dengan 21 mata selepas 13 perlawanan.

Abdul Rahman berkata baki sembilan perlawanan dalam liga harus dimanfaatkan sepenuhnya oleh pasukan itu dengan bangkit memperbaiki kedudukan carta liga bagi memburu kedudukan terbaik musim ini.

"Masih belum terlambat untuk mengejar tiga tempat teratas liga," katanya. Apabila kancah liga bersambung semula, Terengganu akan menentang pasukan kedua liga, Selangor, di Stadium Shah Alam pada 4 Mei ini.

No comments:

Post a Comment