Terengganu dijangka meraih kira-kira RM2.5 bilion berdasarkan kedatangan lima juta pelancong yang diunjur melawat negeri ini hingga penghujung tahun ini.
Untuk mencapai sasaran itu, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata kerajaan negeri akan melabur kira-kira RM100 juta menganjurkan lebih banyak acara bertaraf antarabangsa sebagai tarikan kedatangan pelancong.
Katanya, acara berkenaan termasuk Festival Kenyir, Swimathon Antarabangsa dan Larian Jambatan Sultan Mahmud 2014.
Tahun lepas, kerajaan negeri menjana pendapatan RM2 bilion melalui sektor pelancongan hasil kemasukan 4.5 juta pelancong.
Bercakap kepada pemberita di Pesta Mencandat Sotong Antarabangsa 2014 di Kuala Terengganu, Rabu lalu.
Ahmad Said berkata: "Acara tambahan tahun ini berpotensi menarik minat pelancong kerana keistimewaan yang ditawarkan."
"Acara yang kami anjurkan mempunyai daya tarikan tersendiri. Sebagai contoh, jika mereka meminati aktiviti sukan, kami menyediakannya.
Kalau mereka sukakan alam semula jadi, kami juga mengadakannya (acara) untuk mereka," kata beliau sambil menegaskan bahawa acara yang dianjurkan itu memberi pendapatan tambahan kepada penduduk negeri ini.
Mengenai Pesta Mencandat Sotong Antarabangsa 2014, Ahmad berkata acara itu bukan sahaja mempromosi keindahan dan tempat menarik di Terengganu, tetapi juga menawarkan hospitaliti terbaik yang terdapat di negeri ini.
Katanya, Pulau Redang, antara tempat yang mesti dikunjungi di Terengganu, yang mendapat pujian media tempatan dan antarabangsa.
"Apabila kami bawa mereka ke pulau itu, mereka terkejut dengan keindahannya dan kami harap mereka akan menulis perkara yang baik tentang pulau itu dan tempat lain di Terengganu untuk bacaan rakyat negara mereka supaya ingin datang ke sini," katanya.
Ahmad Said berkata pelancong kagum dengan keunikan produk kraftangan Terengganu seperti batik, songket, barangan tembaga dan ukiran kayu.
Beliau berkata menjelang akhir tahun ini, Terengganu akan menganjurkan pertunjukan fesyen antarabangsa bagi mempromosi batik dan songket kepada dunia.
Terengganu akan berganding bahu dengan pereka fesyen antarabangsa untuk menggunakan batik dan songket dalam pertunjukan itu nanti, katanya.
"Setiap tahun, kami menyertai pertunjukan fesyen di Milan untuk memperagakan batik kami kepada dunia. Kami harap pertunjukan fesyen anjuran kami itu juga dapat menarik lebih ramai pelancong," katanya.
No comments:
Post a Comment