Tuesday, April 15, 2014

Saman Hadi: 18 Mei Untuk Fail Pengurusan Kes


Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu menetapkan 18 Mei sebagai pengurusan kes permohonan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk mengetepikan perintah penghakiman ingkar terhadapnya dalam kes saman fitnah RM2 juta oleh bekas calon PKR bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Mohd Shamsul Mat Amin.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu Mohamad Nasrudin Mohamed menetapkan tarikh berkenaan berikutan permohonan Abdul Hadi untuk mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu itu.

Mohd Shamsul dan Abdul Hadi tidak hadir di mahkamah semalam  dan masing-masing diwakili peguam A Vasudevan dan Asmuni Awi.

Permohonan pada semalam  untuk mengetepikan perintah mahkamah tetapi tarikh 18 Mei ditetapkan untuk pengurusan kes sebelum tarikh perbicaraan ditetapkan di hadapan hakim, kata Vasudevan ketika ditemui pemberita.

Sebelum itu, mahkamah semalam  mengetepikan perintah penghakiman ingkar terhadap Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung kes saman fitnah RM2 juta ke atasnya

Mohamad Nasruddin Mohamed memutuskan demikian di kamar beliau setelah mendapati writ saman yang difailkan oleh Mohd. Shamsul selaku plaintif pada 17 Februari lalu tidak mengikut prosedur mahkamah. 

Pada 23 Feb lepas Abdul Hadi diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi untuk membayar ganti rugi RM2 juta kepada Mohd Shamsul selepas gagal memasukkan kehadiran bagi menjawab atau memfailkan pembelaan terhadap saman yang dikemukakan oleh Shamsul pada 5 Dis tahun lalu

Mohd Shamsul mengambil tindakan itu selepas Abdul Hadi mengeluarkan kenyataan bahawa ada calon PKR yang menjual pil kuda menjelang pilihan raya umum lepas sebagai alasan untuk PAS meletakkan calonnya bertanding di DUN Bukit Besi sehingga menyaksikan berlaku pertandingan tiga penjuru.

Dalam pernyataan tuntutannya Mohd Shamsul mendakwa ucapan Abdul Hadi dalam ceramah di Kampung Tebakang Alor Limbat, Marang pada 22 April 2013 telah menjatuhkan maruahnya dan keluarga serta menjejaskan reputasinya sebagai calon dan ahli perniagaan

Asmuni memberitahu pemberita, mahkamah bersetuju dengan dua hujah yang dikemukakan pihak defendan bahawa penyampaian writ saman oleh plaintif tidak sempurna, justeru menetapkan 18 Mei ini untuk pengurusan kes sebelum perbicaraan penuh dimulakan.

``Penyampaian writ saman itu tidak sempurna, malah tidak diketahui akan kewujudan penerimanya dan perkara itu tidak dapat dibuktikan pihak plaintif.

``Perintah penghakiman ingkar berhubung kes saman fitnah RM2 juta itu juga didapati tidak lengkap dan tidak mengikut peraturan mahkamah dan atas alasan itu pihak mahkamah mengetepikan perintah tersebut,'' kata beliau.

 Berikutan itu, kata Asmuni, pihak defendan diberi tempoh 14 hari untuk memfailkan kehadiran dan memasukkan pembelaan sebelum kes itu diteruskan dengan perbicaraan penuh di hadapan hakim Mahkamah Tinggi.


No comments:

Post a Comment