Friday, April 11, 2014

T-Team Mahu Ikat Penyerang Kebangsaan Rwanda

Pasukan berstatus kelab, T-Team berkemungkinan mengikat penyerang kebangsaan Rwanda, Jimmy Mulisa dalam masa terdekat ini dalam usaha melonjakkan pasukan itu daripada fasa penyingkiran Liga Super musim ini.

Selepas 12 perlawanan, T-Team setakat ini menduduki tangga kesembilan dengan memungut 13 mata daripada keseluruhan 12 pasukan bertanding.

Pengendali pasukan Mohd Azraai Khor Abdullah berkata pihaknya sedang mengadakan rundingan bagi mengikat pemain berusia 29 tahun itu sebelum pintu pendaftaran kedua pemain import Liga Malaysia berakhir 23 April ini.

"Kita masih dalam proses untuk memuktamadkan dari segi gaji dan beberapa perkara lain sebelum mengadakan majlis menandatangani kontrak," katanya semalam.

Dikhabarkan bekas pemain kelab Tubize dari Belgium itu kini berada di Kuala Terengganu sejak seminggu lepas dan telah melakukan beberapa ujian awal dalam usaha T-Team menggantikan pemain import yang gagal menyerlah.

Menurut Mohd Azraai, perkhabaran T-Team membawa masuk Mulisa adalah bagi menggantikan posisi penyerang dari Brazil, Evaldo Rodrigues Goncalves yang ditamatkan kontrak berikutan prestasi tidak memuaskan.

Sebelum ini, T-Team telah menggantikan pemain pertahanan import dari Brazil, Fabio Flor dengan rakan senegaranya Leandro Dos Santos, bekas pemain kelab Bangkok Glass FC dalam liga Thailand.

Bagi mengelak daripada tersingkir ke Liga Perdana musim depan, pasukan itu dilihat dalam keadaan terdesak untuk menguji beberapa calon import sebelum jendela perpindahan pertengahan musim ditutup. 

"Kita harap sempat turunkan Mulisa bagi memperkuatkan pasukan ketika kita bertemu Pahang di Kuantan, Sabtu ini, di samping Santos," katanya.

Mengenai ura-ura T-Team bakal mengambil bekas penyerang Perancis Nicolas Anelka, beliau berkata perkara itu masih lagi dalam perbincangan dan tagih satu 'keajaiban' bakal berlaku.

No comments:

Post a Comment