Thursday, April 24, 2014

Yayasan Pembangunan Pondok Akan Wujudkan Profil Sekolah Pondok

Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM) akan membuat kajian dan mewujudkan profil-profil sekolah pondok di negara ini secara digital bagi membantu usaha pembangunan institusi pondok.

Pengerusi Eksekutif YPPM Datuk Dr Mashitah Ibrahim berkata dengan adanya profil digital itu, ia akan membantu kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan untuk mengenal pasti sekolah-sekolah pondok yang boleh dibantu dan diarusperdanakan.

Katanya terdapat hampir 100 sekolah pondok di negara ini dengan negeri paling banyak sekolah pondok ialah Kelantan, Kedah dan Terengganu, dan profil secara digital itu akan memudahkan akses untuk bantuan diberikan.

"Hala tuju dan cabaran sekolah pondok sekarang adalah bagaimana nak arus perdanakan sekolah pondok supaya bersama dengan suara tranformasi yang dilakukan kerajaan.

Sekolah pondok kini di persimpangan, sama ada nak jadi pondok moden atau kekal dengan tradisi yang lama. Kita lihat intipati sekolah pondok perlu dikekalkan seperti nilai-nilai keilmuan," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Ijtimak Pondok Malaysia 2014 semalam.

 Majlis disempurnakan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir.

Mashitah berkata kerajaan Kedah telah mengorak langkah dalam memberi bantuan kepada sekolah pondok di mana sejak Januari lalu, kerajaan negeri telah memberi elaun guru kepada 11 pondok melibatkan bantuan RM2,000 sebulan setiap pondok selain wakaf kitab sebanyak RM20,000 setahun kepada setiap pondok terbabit.

 "Sebelas pondok itu telah dicadangkan oleh Yayasan Pembangunan Pondok. Saya berharap usaha seperti ini dapat dicontohi oleh negeri-negeri lain," katanya.

Katanya daripada maklumat pada ijtimak kali ini, pihaknya akan menyediakan kertas dasar untuk diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk pertimbangan kerajaan.

Beliau berkata yayasan itu berharap usaha-usaha yang dilakukan akan dapat mengembalikan nostalgia kegemilangan sekolah pondok dan ulama-ulama sekolah pondok yang diberi peluang untuk mengutarakan pandangan mereka.

"Inilah cabaran sekolah pondok. Kita nak mereka ke depan, bukan hanya dalam pondok tetapi dalam masyarakat. Jika kita lihat sejarah, ulama pondok turut terlibat dalam pembangunan luar bandar, pemerintahan istana dan isu masalah sosial," katanya.

Ijtimak Pondok Malaysia diadakan setiap dua tahun dan kali pertama diadakan pada 2012. Ijtimak kali ini yang diadakan semalam dan hari ini dengan tema "Institusi Pondok di Alaf Baru: Cabaran dan Hala Tuju" disertai 1,300 peserta termasuk dari Indonesia dan Thailand.

No comments:

Post a Comment