Wednesday, May 21, 2014

20 Guru Pondok Tunai Haji Bawah Program 1MDB

Seramai 20 guru pondok terpilih menunaikan ibadah haji di bawah Program Khas Haji Perdana Menteri-1Malaysia Development Berhad (1MDB) 2014.

Pengerusi jawatankuasa program itu Datuk Jailani Ngah berkata pemilihan guru pondok tersebut seiring pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa menghadiri Ijtimak Pondok di Kedah bulan lepas.

"Kita selitkan guru-guru pondok pada program kali keempat ini kerana kita mengenangkan jasa dan sumbangan guru-guru pondok di seluruh negara," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan surat tawaran kepada 51 bakal haji tajaan 1MDB di Kuala Terengganu, Ahad lalu.

Selain itu, Jailani berkata tiga tok batin dari Pahang turut terpilih di bawah program tersebut tahun ini. Beliau berkata sejak pelaksanaan pada 2011, 1MDB sudah menghantar 1,311 jemaah mengerjakan haji.

Program Khas Haji 1MDB itu menawarkan tempat kepada 1,000 jemaah meliputi pengerusi jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK) serta imam.

Sementara itu seorang peserta Suhaimi Ali, 60, ketika ditemui berkata beliau sangat terharu kerana ditawarkan menunaikan haji di bawah program itu.

"Inilah satu anugerah dari kerajaan yang sangat besar maknanya bagi saya," kata Pengerusi JKKK dari Kampung Tok Lawit, Hulu Terengganu tersebut.

No comments:

Post a Comment