Wednesday, May 14, 2014

Ahmad Said Kembali, BN Memerintah Dengan Selesa!

 
Tindakan ‘bijak' Datuk Seri Ahmad Said yang berjaya mengecohkan politik Terengganu menyerlahkan sikap sebenar sesetengah pemimpin UMNO Terengganu.

Jika sebelum ini Pemuda UMNO Terengganu begitu lantang ‘menyerang’ dan cuba menahan Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman daripada dilantik menjadi Menteri Besar, hari ini, sayap Umno itu menyatakan sokongan kepada Menteri Besar Baharu itu.

Turut melegakan ialah Ahmad Said sendiri kembali kepada UMNO dan pemimpin tertentu di Terengganu, nampaknya ‘diperbodohkan’ oleh Ahmad Said.


Bekas Menteri Besar Terengganu itu dilaporkan sudah memaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa beliau kembali menyertai UMNO dan kesal atas apa yang berlaku.

Perkara itu dimaklumkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Datuk Tengku Putera Tengku Awang pada sidang media di Putrajaya sebentar tadi.


Tengku Putera berkata, perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri dalam pertemuan bersama dengan Menteri Besar Terengganu yang baru, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman dan 13 ADUN Terengganu di Perdana Putra.

Tengku Putera mengetuai 14 ADUN Terengganuu mengadakan sidang media itu selepas mengadakan pertemuan khas dengan Najib di Bangunan Perdana Putera, pagi ini.

Rombongan yang diketuai Menteri Besar baharu Terengganu, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman dan Speaker DUN negeri, Mohd Zubir Embong.

Turut sama dalam pertemuan itu ialah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.


Tiga sayap Umno Terengganu hari ini menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap Menteri Besar yang baharu Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman.

Ketua Pergerakan Pemuda Umno Negeri Terengganu Mohd Johari Abu Bakar berkata sayap itu akur dengan keputusan pucuk pimpinan tertinggi Umno dan pelantikan ini menjadikan Umno lebih kuat dan stabil.

"Bagi Pemuda, kami menerima sepenuhnya keputusan ini dan berharap rakyat dapat menerimanya dengan hati terbuka.

"Pelantikan ini menjadikan politik di Terengganu bertambah matang, walaupun ada sedikit kekalutan pada awalnya dan ini merupakan suntikan baharu bagi Pemuda," katanya.

Johari berkata Pemuda Umno Terengganu dengan 58,959 anggota sentiasa bersiap sedia untuk menerima apa jua arahan untuk gerak kerja bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Sementara itu Ketua Pergerakan Wanita Umno Terengganu Datuk Fatimah Hamat berkata Wanita sentiasa akur dengan apa juga keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan asalkan ia memberi penambahbaikan kepada parti.

"Wanita Umno negeri akan mengadakan pertemuan dengan Ahmad Razif dalam masa terdekat bagi menyatakan sokongan terhadap kepimpinan beliau dan ia adalah rutin biasa setiap kali berlaku pertukaran Menteri Besar," katanya.

Ditanya mengenai usaha sayap parti itu yang mempunyai 89,030 anggota seluruh negeri dalam menangani kemelut politik di Terengganu ketika ini, Fatimah berkata pihaknya sudah turun padang dan memberi penerangan.

"Kita sudah memberi penerangan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), aplikasi WhatsApp dan berjumpa dengan anggota parti di peringkat akar umbi dan Alhamdulillah, mereka boleh menerimanya," katanya yang telah berkhidmat sebagai ketua sayap itu dengan dua Menteri Besar iaitu Datuk Seri Idris Jusoh dan Datuk Seri Ahmad Said.

Ketua Pergerakan Puteri Umno Terengganu Rozita Ismail pula berkata sayap parti itu berharap Menteri Besar yang baharu dapat memperkenalkan pelbagai dasar dan program baharu untuk terus menarik keanggotaan sayap itu yang kini mencecah hampir 40,000 orang di seluruh negeri itu.

"Insya-Allah, kami memberi sokongan padu kepada beliau (Ahmad Razif) agar memastikan keutuhan parti dalam memastikan kebajikan rakyat tetap diutamakan," katanya.

No comments:

Post a Comment