Wednesday, May 14, 2014
Polis Terengganu Pantau Media Baharu, Kesan Penyebar Berita Palsu
Polis Terengganu meminta orang ramai menghentikan penyebaran berita tidak sahih menerusi media baharu berhubung situasi politik di negeri itu bagi mengelakkan kekeliruan dan kekecohan.
Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustapa berkata mereka yang didapati berbuat demikian akan dikenakan tindakan menurut undang-undang sedia ada.
"Saya lihat aktiviti penyebaran ini semakin berleluasa dan antara berita terbabit ialah pembubaran dewan undangan negeri, beberapa Adun (anggota dewan undangan negeri) bakal keluar parti, perhimpunan serta perarakan, namun semua itu tidak benar," katanya dalam sidang media di Kuala Terengganu.
Sehubungan itu katanya polis kini bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bagi memantau media baharu.
Dalam pada itu, Jamshah berkata sekalipun keadaan di Terengganu masih terkawal, polis akan meningkatkan rondaan di beberapa lokasi strategik bagi mengelakkan insiden tidak diingini.
"...kita minta pemimpin politik menasihati penyokong agar tidak melakukan provokasi, perarakan dan sebagainya yang boleh mencetuskan kekecohan sebaliknya mengunakan saluran yang betul untuk tujuan itu," katanya.
Keadaan politik di Terengganu menjadi panas setelah bekas Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said dan Adun Ajil, Ghazali Taib mengisytiharkan keluar Umno awal semalam dan menjadi Adun Bebas.
Mereka disusuli Adun Bukit Besi Roslee Daud. Ahmad meletak jawatan sebagai Menteri Besar Terengganu kelmarin dan ini diikuti pelantikan Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman sebagai Menteri Besar baharu malam kelmarin.
No comments:
Post a Comment