Sunday, May 11, 2014

Bakal MB - Siapa Desperado & Kenapa Ahmad Razif Jadi Sasaran Serangan?


"..Ahmad Razif memilih untuk tidak melayan pertanyaan berkaitan perkara itu daripada mana-mana pihak, termasuk media...sebagai saudara yang tua tampil untuk minta kepada saudara semua supaya berhenti daripada menyebarkan spekulasi mengenai pertukaran Menteri Besar Terengganu yang turut melibatkan nama adik saya."
- Che Azmi Abdul Rahman

Sikap berdiam ADUN Seberang Takir, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman mengenai spekulasinya menjadi Menteri Besar Terengganu adalah langkah bijak. Begitu juga mungkin Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar.

Yang tidak bijak dan terdesak adalah kumpulan yang menyerangnya seolah-olah Ahmad Razif membuat rancangan dan peraturan untuk merebutnya daripada Datuk Seri Ahmad Said.

Kita hairan kenapa serangan bertalu-talu dilakukan, termasuk oleh portal berita kawalan Kerajaan Negeri Terengganu, Teganukita ( baca di sini, di sini, di sini).

Belajarlah daripada  kes Datuk Seri Idris Jusoh. Walaupun ’10 Budak Hitam’ bertindak macam-macam dan Ketua Perhubungan UMNO Negeri diserahkan kepada Datuk Seri Hishamuddin Hussein, kedudukan Ahmad Said tetap teguh.

Serangan kepada penulis, kolumnis dan pihak yang menyatakan kemungkinan-kemungkinan, termasuk serangan peribadi hanya kerana mahu mempertahankan Ahmad Said tidak bijak.

Tidak perlu bimbang kerana Ahmad Said mempunyai karektor yang kuat, selain sudah memperkenalkan pelbagai program transformasi untuk Terengganu.

Tindakan menyerang Ahmad Razif dan gerakan ‘melonjak-lonjakkan Ahmad Said’ tidak akan membawa kebaikan.

Yang memainkan spekulasi orang luar Terengganu tetapi UMNO Terengganu menjadi retak dan apakah orang luar ini boleh membaiki keadaan yang mula rosak?

Selain Ahmad Razif yang juga Ketua Umno Bahagian Kuala Nerus, turut sama disebut dalam spekulasi itu ialah ADUN Air Putih, Wan Abdul Hakim.

Cerita mengenai Menteri Besar Terengganu bakal diganti bukan datang dari Kuala Terengganu. Ia diperkatakan dengan meluas di Kuala Lumpur.

Seperti Ahmad Said yang tidak pernah merancang dan tiba-tiba diberikan kepercayaan kepadanya, beliau memang tidak patut diserang.

Segalanya adalah kehendak Allah s.w.t dan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Begitu juga dalam kes Ahmad Razif yang dijadikan sasaran oleh penyokong Ahmad Said adalah mangsa kepaqda keadaan yang sepatutnya tidak berlaku.

Pertamanya, tiada kenytaan khusus daripada Perdana Menteri dan keduanya, Datuk Seri Mohd Najib sudah menepis berita itu;

Kedua, tidak wajar Ahmad Razif dituntut membuat kenyataan kerana ia tidak ada kena mengena dengan pelantikan atau pertukaran.Yang mengada-adakan berita adalah akhbar, tv, media sosial dan orang persorangan; dan

Ketiga, yang banyak bercakap adalah kumpulan ‘desperado’ yang bimbang Ahmad Said turun. Siapa ‘desperado’ ini?

Perkataan desperado digunakan oleh Ketua Penerangan UMNO Terengganu, Datuk Abdul Rahman Bakar sebagai merujuk kepada kemungkinan wujud golongan kecil yang menyebarkan spekulasi laporan berita pertukaran Menteri Besar Terengganu kelmarin.

Desperado yang dimaksudkan Abdul Rahman ialah kerana kumpulan itu tidak berpuas hati dengan sesuatu yang mereka inginkan. Tidak diketahui siapa dan tujuan mereka. Sebaliknya, apa yang dapat dilihat ialah Ahmad Razif atau penyokongnya tidak langsung menunjukkan mereka ‘terdesak untuk menjadi Menteri Besar’ sebaliknya yang mempertahankan Ahmad Said sehingga mengeluarkan kenyataan, memasang sepanduk dan banner yang benar-benar ‘desperado’. 

 Di sebalik ‘menyerang desperado’ Abdul Rahman memang ‘berpuas hati’ dengan apa yang ada padanya kini.

Selain menjadi Ketua Penerangan UMNO Terengganu, dia juga mempengurusi sebuah syarikat anak syarikat kerajaan negeri (GLC). Ada beberapa kemudahan lain diterimanya yang menggambarkan beliau ‘dijaga kepentingannya’ oleh pemimpin UMNO dan kerajaan negeri.

Kata Abdul Rahman : "Nasihat saya kepada golongan 'desperado' itu, berhentilah menangguk di air yang keruh...jangan mengulanginya kerana ia memberi mudarat kepada Menteri Besar Terengganu, Umno, BN dan pembangkang juga akan memanipulasi isu ini," katanya.

Sementara itu seorang lagi yang turut membuat kenyataan ialah Bendahari UMNO Negeri Nik Dir Nik Wan Ku (baca di sini) yang kini berada dalam ‘zon selesa’.

Beliau Bendahari UMNO Terengganu yang juga pengerusi sebuah syarikat GLC dan menikmati ‘kekayaan lain’.

Laporan portal berita milik Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT) di Kuala Terengganu itu menyebut, pertemuan antara pegawai khas kepada Menteri besar Terengganu (apakah Nik Dir sendiri) dengan pemimpin di ibu pejabar UMNO PWTC Kuala Lumpur menafikan adanya pertukaran itu.

Nik Dir melaporkan apa yang berlaku di bahagian Kuala Nerus Terengganu sekarang ini di mana mereka war-warkan kepada masyarakat setempat bahawa Adun Seberang Takir, Ahmad Razif Bin Abd Rahman telah mendapat perkenan daripada Presiden Parti untuk menganti Menteri Besar pada 15.Mei ini melalui apa yang di dakwa pengesahan daripada Datuk Jailani Ngah, Pegawai Di PMO.

Memetik Setiausaha Agong Umno Malaysia, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Nik Dir berkata Tengku Adnan menafikan sekeras-kerasnya perkara ini dan menyifatkan satu perbuatan yang tidak bertanggung jawab serta boleh memecah belah perpaduan parti.

Setiausaha Agung itu seterusnya meminta semua pihak bertenang serta meningkatkan perpaduan parti dalam usaha meningkatkan sokongan kepada UMNO.

Abdul Rahman minggu lalu dengan penuh yakin mengatakan Ahmad Said akan kekal sebagai Menteri Besar Terengganu seperti mana dimaklumkan oleh Perdana Menteri pada mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno, 25 April lepas.

Ini semua dah tahu. Tidak payah nyatakan, semua orang tahu.

Selagi tiada perlantikan baru tidak ada sebab Ahmad Said akan turun. Bukan Abdul Rahman atau Nik Dir sahaja akan tahu tapi juga Ahmad Razif, Wan Hakim Wan Mokhtar atau Rozi Mamat.


Bercakap mewakili Badan Perhubungan Umno Terengganu baru-baru ini Abdul Rahman berkata Datuk Seri Najib Tun Razak telah memaklumkan pada mesyuarat itu bahawa tiada pertukaran mana-mana Menteri Besar di negeri-negeri di bawah Barisan Nasional (BN).

Selain itu, beliau mendakwa tiada perjanjian antara Ahmad dan Perdana Menteri bagi memegang jawatan itu untuk tempoh setahun selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, tahun lepas.

"Perdana Menteri kata, beliau tidak akan tukar mana-mana Menteri Besar di semua negeri...beliau buat kenyataan itu selepas mesyuarat MT Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dua minggu lepas," katanya pada sidang media di Lapangan Terbang Sultan Mahmud sekembalinya dari Kuala Lumpur.

Ini kenyataan yang dibuat secara terbuka oleh Najib sendiri dan memetik kenyataan pemimpin di Ibu Pejabat UMNO mengenai perkara itu seolah-olah Abdul Rahman dan Nik Dir tidak ikut perkembangan.

Selain sudah dilaporkan, menyatakan perkara itu sebagai perkara baru adalah tindakan terkebelakang. Lainlah kalau mereka membawa jaminan baru oleh pemimpin di Ibu Pejabat tanpa merujuk kepada pengumuman mesyuarat MT berkenaan. Apapun, bijak juga mereka di Ibu pejabat UMNO memainkan peranan untuk tidak nampak mencampuri kemelut MB Terengganu ini.


Abdul Rahman berkata sebagai pemimpin negara yang berpandangan jauh, adalah mustahil untuk Perdana Menteri melakukan perkara seperti yang dilaporkan oleh akhbar terbabit.

"Tiada gerakan daripada anggota exco yang dinamakan sebagai pengganti, atau mana-mana 17 wakil rakyat BN dan Parlimen empat orang...kesal atas laporan itu dan semak daripada sumber Putrajaya dan Umno pusat tidak akan ada pertukaran," katanya.

Apapun, tarikh yang sebut, iaitu sehingga 17 Mei ini belum sampai. Sekiranya selepas tarikh itu tidak berlaku pertukaran, barulah boleh ‘tidur lena’ .

Sudah pasti semua pihak menunggu apa langkah Najib selepas kembalinya dari menghadiri mesyuarat ASEAN di Myanmar beberapa hari ini.


Jadi benarlah kata-kata Che Azmi Abdul Rahman, bekas Ahli Parlimen Kuala Nerus bahawa tidak adil adiknya itu dijadikan sasaran kerana spekulasi bakal menteri besar bukan berpunca daripada Ahmad Razif sendiri atau orang lain yang dekat dengannya.

"Kita pun tak tahu dari mana datangnya cerita ini, jadi saya minta janganlah jadikan dia (Ahmad Razif) sasaran, janganlah dia dipersalahkan.

Dia sendiri tidak tahu menahu (hal pertukaran menteri besar).

"Berilah peluang untuk beliau terus berkhidmat dengan selesa. Cerita ini banyak menjejaskan dirinya, kredibilitinya sebagai wakil rakyat. Ada orang kata dia yang teringin nak jadi menteri besar," katanya selepas beberapa hari  Ahmad Razif dan orang terdekatnya mengambil pendekatan berdiam diri berhubung spekulasi beliau akan menggantikan Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu.

Che Azmi Ameminta semua pihak berhenti mengaitkan adiknya dengan khabar angin itu.

Che Azmi berkata, menyedari cakap-cakap seperti itu jika dilayan boleh membawa implikasi yang buruk kepada politik dan kepimpinan negeri, Ahmad Razif memilih untuk tidak melayan pertanyaan berkaitan perkara itu daripada mana-mana pihak, termasuk media. "… sebagai saudara yang tua tampil untuk minta kepada saudara semua supaya berhenti daripada menyebarkan spekulasi mengenai pertukaran Menteri Besar Terengganu yang turut melibatkan nama adik saya.

Benar kata Cik Azmi, jika serangan dan spekulasi berlarutan, ia boleh menimbulkan suasana tegang di Terengganu.

No comments:

Post a Comment