Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Terengganu meluluskan peruntukan RM11.095 juta untuk projek khas perumahan nelayan membabitkan 1,229 buah rumah.
Jurucakap LKIM berkata mengikut statistik, jumlah itu melibatkan 189 unit di daerah Besut, Setiu (306), Kuala Terengganu (67), Kuala Nerus (86), Marang (68), Dungun (234) dan Kemaman (279).
Katanya 1,005 unit sudah pun siap dibaik pulih, 169 unit dalam pembinaan manakala 19 unit dalam proses pembinaan, bertujuan memberi keselesaan kepada golongan nelayan yang selama ini hidup dalam keadaan rumah yang begitu uzur.
Selain itu, LKIM turut berazam untuk melaksanakan dalam masa terdekat, 36 projek membaik pulih rumah nelayan yang tergendala, disebabkan beberapa masalah seperti penyelarasan kerja antara tuan rumah dan kontraktor yang dilantik.
"Kita harap masalah ini dapat diselesaikan segera bagi membolehkan penerima bantuan tinggal di dalam rumah yang lebih selesa," katanya.
Jurucakap itu berkata Kemaman mencatatkan rekod paling tinggi rumah bermasalah iaitu 12 kes diikuti Setiu (11), Marang (5), Dungun (4), Kuala Terengganu dan Kuala Nerus masing-masing dua kes.
Katanya LKIM memberikan bantuan maksimum RM10,000 untuk sebuah rumah dan kerja membaik pulih dijangka memakan masa sekitar sebulan hingga dua bulan.
No comments:
Post a Comment