Wednesday, May 21, 2014

Bank Islam Sedia Peruntukan Lebih RM5 Juta Untuk Aktiviti CSR Tahun Ini

Bank Islam Malaysia Bhd memperuntukkan lebih RM5 juta tahun ini untuk kegiatan program tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) bagi memenuhi keperluan pelbagai segmen masyarakat di seluruh negara.

Ketua Hubungan Strategiknya Datuk Wan Ismail Wan Yusoh berkata selain menyediakan penyelesaian kewangan dalam perbankan Islam, bank itu juga memberi penekanan dalam meningkatkan dan memperkayakan kehidupan mereka yang serba kekurangan dan daif.

"Melalui cawangan kami di seluruh Malaysia, kami mengenal pasti golongan miskin dan mereka yang memerlukan bantuan kami. Kami juga bekerjasama dengan majlis agama Islam negeri-negeri dan juga Jabatan Kebajikan bagi memastikan bantuan kami sampai kepada orang yang benar-benar memerlukan," katanya selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang Bank Islam dan Bernama Media Treasure Hunt 2014 di Lotus Desaru Resort, Sabtu malam.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengurus Besar Bernama Datuk Yong Soo Heong dan Ketua Perancang Strategik Bank Islam Hizamuddin Jamalludin.

Antara program CSR yang dirancang tahun ini termasuk projek perumahan bagi mereka yang memerlukan di Johor, membabitkan usaha membina dan membaik pulih rumah bagi 22 keluarga bernilai lebih daripada RM4 juta.

Setakat ini, bank itu telah membaik pulih rumah bagi 151 keluarga miskin di Kelantan, Terengganu, Kedah, Pahang, Perak dan Sarawak.

Wan Ismail berkata bank itu juga sedang meneliti untuk memperluaskan kegiatan CSRnya di Sabah memandangkan masih banyak rumah diperlukan dalam kalangan orang miskin selain infrastruktur asas lain seperti surau.

Katanya melalui majlis seperti kembara mencari harta karun ini, ia bertindak sebagai platform bagi peserta untuk menyumbang secara bermakna kepada masyarakat. Bank Islam telah menganjurkan acara ini bersama Bernama sejak tahun 2011.

Untuk tahun ini, 160 wartawan dari pelbagai pertubuhan media menyertai acara ini dengan 40 buah kereta melihat sepintas lalu kehidupan masyarakat nelayan tempatan di Pontian, satu daripada tempat perhentian dalam kembara itu.

Kumpulan NST, yang menamakan kumpulan mereka "Close One Eye", terdiri daripada wartawan kanan Farrah Naz Karim, Haris Hussain, Chok Suat Ling dan Ramlan Said, meraih hadiah pertama diikuti kumpulan campuran dari Bernama, The Sun dan TV3 dengan gelaran "Men in Black" menduduki tempat kedua. Kedua-dua kumpulan itu masing-masing mendapat hadiah wang tunai RM4,000 dan RM3,000 setiap satu.

No comments:

Post a Comment