Menteri Besar Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman mempelawa pengamal media memberi cadangan dan idea baharu dalam aspek penambahbaikan kesejahteraan dan kebajikan rakyat bagi memastikan agenda pembangunan negeri ini berjalan lancar.
Beliau berkata pengamal media adalah antara golongan yang sering turun padang dan terawal dalam mengetahui permasalahan dihadapi rakyat dalam pelbagai urusan harian mereka.
"Justeru marilah bersama-sama kita bekerjasama ke arah pembangunan Terengganu yang lebih maju dengan keseimbangan menyeluruh dengan kebajikan rakyat terus diutamakan.
"Saya sangat berharap pengamal media di negeri ini terus membuat laporan tepat dan berkualiti dan saya sendiri akan berusaha memberi kerjasama yang diperlukan anda semua," katanya ketika berucap di majlis mesra media anjuran Kelab Wartawan Terengganu (KAWAT) di Kuala Terengganu, malam kelmarin yang dihadiri 300 pengamal media di negeri ini.
Turut hadir Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Mohd Sabri Alwi, Ketua Umno Bahagian Dungun, Datuk Din Adam dan Presiden KAWAT Ayob Mamat.
Ahmad Razif turut merakamkan penghargaan kepada pengamal media yang membuat liputan dengan baik sepanjang krisis politik negeri ini minggu lalu.
"Fokus kita semua selepas ini ialah untuk menang semula di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang kita kalah dan mengekalkan kemenangan di kerusi DUN sedia ada dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) tidak lama lagi.
"Saya adalah menteri besar ke-14 dan kebetulan akan menghadapi PRU14, lupakan semua yang berlaku, kita semua rapatkan barisan untuk capai impian yang satu demi kemenangan yang diimpikan," katanya.
No comments:
Post a Comment