Wednesday, May 28, 2014

Imam Besar Masjid Negara Saran Tindakan Tegas Terhadap Cadbury


"Umat Islam perlu  lebih berhati-hati dengan status makanan yang diambil kerana sikap sambil lewa terhadap perkara itu hanya memudaratkan umat Islam sendiri....Jika umat Islam memandang remeh perkara ini, ia sama sahaja seperti orang yang tidak beriman yang makan apa sahaja tanpa mengira halal haramnya sesuatu produk itu. "
 - Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad

Imam Besar Masjid Negara Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad menyarankan agar tindakan tegas diambil terhadap Cadbury Confectionary (M) Sdn Bhd susulan penemuan DNA khinzir di dalam dua produknya. 

Imam Besar Masjid Negara.
Beliau berkata tindakan seperti denda yang berat atau penutupan kilang adalah wajar sebagai pengajaran kepada syarikat lain agar lebih berhati-hati dalam pematuhan piawaian halal.

"Apa sahaja keputusan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) terhadap syarikat itu akan kita sokong, asalkan ia tidak berulang pada depan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan mahabbah dan menyampaikan sumbangan kepada pesakit di Hospital Sultanah Nur Zahirah di Kuala Terengganu, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Kementerian Kesihatan pada Sabtu lalu yang mengesahkan dua sampel coklat keluaran Cadbury mempunyai DNA khinzir.

Mengulas lanjut, Syaikh Ismail juga tidak menolak kemungkinan ada pihak tertentu yang berniat jahat dengan menjadikan makanan sebagai alat untuk menggugat akidah umat Islam.

Justeru, beliau menyeru umat Islam agar lebih berhati-hati dengan status makanan yang diambil kerana sikap sambil lewa terhadap perkara itu hanya memudaratkan umat Islam sendiri.

"Jika umat Islam memandang remeh perkara ini, ia sama sahaja seperti orang yang tidak beriman yang makan apa sahaja tanpa mengira halal haramnya sesuatu produk itu

 "Pada masa sama, kita mengharapkan pihak berkuasa terus memantau syarikat pengeluar makanan yang lain bagi mengelak perkara ini terjadi," katanya.

Sementara itu, susulan daripada penemuan ‎DNA babi dalam coklat Cadbury, syarikat itu hari ini mengatakan pihaknya kini sedang bekerjasama dengan Jakim bag‎i memastikan produk yang dikeluarkannya selari dengan peraturan sijil halal.

Ketua Hal Ehwal Korporat Cadbury Confectionery Malaysia Sdn Bhd,‎ Raja Zalina Raja Safran berkata Jakim juga memaklumkan kepada syarikat itu bahawa mereka akan menjalankan sendiri penilaian produk coklat tersebut.

"Jakim menyatakan bahawa mereka akan menguruskan sendiri penilaian produk Cadbury dan akan mengumumkan keputusannya, " katanya dalam satu kenyataansemalam.

Selain mengulas kritikan orang ramai, beliau berkata ‎syarikat itu mengambil pendirian untuk tidak memberi sebarang kenyataan.

"Kami menerima begitu banyak komen dari‎pada pelbagai pihak berkenaan hal ini dan kami juga mendengar mengenai penyelesaian yang dituntut oleh masyarakat Islam. "Bagaimanapun kami tidak dapat memberi sebarang komen tetapi tetap berusaha untuk menyelesaikan isu ini secepat mungkin," katanya.

Sebelum ini Kementerian Kesihatan Malaysia mengesahkan produk coklat Cadbury yang mendapat pengiktirafan sijil halal mengandungi DNA babi.

Produk berkenaan adalah coklat susu dengan kacang hazel – Cadbury Dairy Milk Hazelnut dengan nombor kelompok (batch no) 200813M01HI2 dan coklat susu dengan buah badam, Cadbury Dairy Milk Roast Almond dengan nombor kelompok (batch no) 221013N01RI1.

Kenyataan itu mencetuskan kritikan hebat masyarakat Islam di negara ini sehingga beberapa badan Islam menggesa pengguna untuk tampil membuat tuntutan saman selain daripada memboikot produk itu.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata‎ analisis kementerian kesihatan terhadap kesemua produk bagi memastikan ia tidak mengandungi DNA babi akan mengambil masa kerana perlu melalui beberapa proses.

Syarikat itu juga kini ‎sedang disiasat di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985 bagi memastikan sama ada Cadbury dengan sengaja atau secara tidak sengaja memasukkan DNA babi dalam produk coklat mereka.

No comments:

Post a Comment