Jabatan Imigresen Terengganu telah menahan tujuh wanita warganegara Thailand dalam satu operasi malam kelmarin di Medan Selera Kampung Tiong setelah disyaki menyalahgunakan pas lawatan sosial mereka.
Penolong Pengarahnya Mohd Shahrir Khalil berkata seramai 20 pegawai telah dikerahkan untuk menjalankan operasi yang bermula pada jam 10.30 malam setelah menerima aduan pihak awam tentang kegiatan mereka yang menjadi pelayan di sebuah restoran.
"Kita sudah jalankan risikan selepas menerima aduan daripada orang awam yang tidak selesa dengan situasi mereka yang melayan pelanggan dengan mesra," katanya kepada para wartawan malam kelmarin.
Mohd Shahrir berkata dalam operasi selama 15 minit itu, ketujuh mereka ditangkap semasa sedang minum bersama-sama pasangan yang dipercayai melanggan mereka.
Kesemua warganegara Thailand tersebut telah dihantar ke Depot Tahanan Imigresen di Ajil untuk siasatan lanjut selama 14 hari.
No comments:
Post a Comment