Sunday, May 11, 2014

Lebih 70 Peratus Graduan UniSZA Dapat Kerja - Naib Canselor

Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini yakin ia mampu bersaing dengan universiti lain di negara ini kerana lebih 70 peratus daripada 2,000 graduannya dapat kerja sejak tiga tahun lepas.

Naib Canselor Profesor Dr Yahaya Ibrahim berkata peningkatan kadar peratusan graduannya mendapat kerja menunjukkan kursus ditawarkan universiti itu memenuhi keperluan pasaran kerja.

"Kebanyakan graduan, yang berjaya mendapat kerja adalah daripada jurusan Bahasa Inggeris dan Komunikasi; Perakaunan; Undang-undang dan Pengurusan Perniagaan yang memenuhi keperluan industri," katanya .

Prof Yahaya berkata UniSZA akan sentiasa menambah baik kualiti pendidikannya dan mengemas kini kursus ditawarkan untuk memastikan pelajar bersedia untuk memasuki dunia pekerjaan.

Beliau berkata universiti sentiasa memantau setiap kursus ditawarkan dengan harapan peratusan kalangan graduan mendapat kerja meningkat setiap tahun.

Beliau berkata UniSZA menyasarkan menjadi universiti terbaik di pantai timur Semenanjung dan antara 10 universiti terbaik dalam negara.

Katanya pengurusan UniSZA akan berusaha memastikan semua kursus ditawarkan diiktiraf Agensi Kelayakan Malaysia, Lembaga Kelayakan Profesion Undang-undang dan Majlis Perubatan Malaysia.

No comments:

Post a Comment