Wednesday, May 7, 2014

Kadar Baharu Cukai Pintu MBKT Belum Muktamad - Datuk Bandar


Kadar baharu cukai pintu Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) belum muktamad dan penduduk mempunyai tempoh sehingga 2 Jun ini untuk membuat bantahan.

Datuk Bandar Datuk Adzlan Mohd Dagang berkata jika pihaknya menerima banyak bantahan mengenai cadangan itu, MBKT akan mengusulkan kepada kerajaan negeri agar kadar yang dicadang dikurangkan.

"Memang kelihatan cukai pintu ini dinaikkan mendadak sehingga 600 peratus tapi kalau ikut nilaian pada 1986 nilai ini relevan dengan nilai semasa.

"Contohnya, kalau satu lot tanah di Cendering dulu (28 tahun lalu) nilainya cuma RM30,000, sekarang mencecah RM400,000.

Begitu juga tanah di sekitar Ladang, 30 tahun lalu nilainya mungkin RM300,000 sedangkan nilai sekarang mencecah RM8 juta," katanya semalam.

Beliau diminta mengulas tindakan 40 badan bukan kerajaan yang menubuhkan Jawatankuasa Bertindak Isu Cukai Pintu Terengganu menghantar bantahan bertulis berhubung cadangan menaikkan cukai pintu kepada MBKT semalam.

Mengulas lanjut, Mohd Adzlan berkata proses penilaian semula kadar cukai pintu itu dilaksana menurut Seksyen 142 Akta Kerajaan Tempatan setelah mendapat persetujuan kerajaan negeri pada 2007.

Sepatutnya kadar baharu dilaksana pada 2010 namun kerajaan negeri memutuskan pelaksanaan ditangguh sebelum notis baharu dikeluarkan pada Mac lepas dan akan dikuat kuasa tahun depan, katanya.

No comments:

Post a Comment