Wednesday, May 7, 2014

Anak Syarikat Kerajaan Negeri Yang Rugi Dan Tidak Berpotensi Mungkin Ditutup


Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata mana-mana anak syarikat dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) milik kerajaan negeri yang mengalami kerugian dan tidak berpotensi untuk dimajukan mungkin akan ditutup.

"Ada beberapa buah anak syarikat yang alami kerugian jadi kita akan tengok semula sama ada syarikat tersebut ada potensi untuk dibaik pulih (prestasinya) atau pun tidak, kalau tidak berpotensi untuk dibaik pulih, mungkin kita akan tutup anak syarikat berkenaan," katanya.

Beliau menyatakannya selepas menyampaikan ucap tama sempena Taklimat 'Kepimpinan dan Integriti Pengarah Korporat' anjuran kerajaan negeri bersama Institut Kajian Integriti dan Strategik Terengganu (T-ISSI) di Resorts World Kijal di Kemman, semalam.

Ahmad berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai kerugian yang dialami beberapa buah anak syarikat dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) milik kerajaan negeri Terengganu.

Beliau, bagaimanapun, tidak mendedahkan anak syarikat yang mengalami kerugian tersebut.



Sementara itu, beliau menggesa pengurusan tertinggi kesemua anak syarikat milik kerajaan negeri agar lebih berkepimpinan dan berintegriti supaya mereka dapat menguruskan syarikat dengan lebih baik dan seterusnya dapat menjana pendapatan dan keuntungan.

"Kita perlu memantapkan pengetahuan pengerusi dan ahli lembaga pengarah supaya mereka dapat menguruskan anak syarikat dengan lebih berwibawa untuk menentukan syarikat-syarikat ini dapat memberi keuntungan, dan yang paling penting ialah soal integriti," katanya.

Taklimat selama lima hari bermula Ahad itu turut mendapat kerjasama Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) serta Institut Integriti Malaysia (IIM) dan disertai 50 pengerusi serta ahli lembaga pengarah anak syarikat kerajaan negeri Terengganu.

"Kita harap melalui program ini potensi anak syarikat kita akan lebih maju dan berdaya saing untuk memacu ekonomi untuk kebaikan kerajaan dan rakyat," katanya.

No comments:

Post a Comment