Friday, May 9, 2014

Masjid Taman Ilmu Dibuka Esok Setelah 7 Tahun Dibangunkan

Masjid Taman Ilmu di Kampung Tembila yang asalnya dibina untuk kemudahan warga Taman Ilmu, akan dibuka semalam bagi kemudahan penduduk sekitar termasuk pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) berhampiran.

Masjid yang dibina dengan kos mencecah RM46.8 juta itu merupakan satu-satunya masjid mukim paling besar di negeri ini yang mampu menampung kira-kira 10,000 jemaah di kawasan seluas 12.4 hektar.

Majlis penyerahan masjid itu dilakukan oleh Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR), Datuk Shafie Mohamad kepada Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) yang diwakili Pengarah Kanan, Bahagian Dakwah, Pengurusan Masjid dan Pendidikan Maidam, Datuk Shamsiah Awang di Tembila, semalam.

Majlis penyerahan itu dirasmikan anggota Dewan Undangan negeri kawasan Kota Putera, Mohd Mahdi Musa.

Pengarah JKR Negeri, Datuk Shafie Mohamad berkata masjid itu pada asalnya dijadual dibuka pada tahun 2009 tetapi terhalang oleh beberapa masalah yang tidak dapat dielakkan.

Shafie berkata masjid itu akan memberi kemudahan kepada penduduk sekitar Kampung Gerda Emas, Pengkalan Sentul, Tembila dan Kampung Gong Machang termasuk mahasiswa UniSZA, pelajar SMK Tembila dan anggota tentera dari Kem Seri Tembila.

Dalam pada itu Shamsiah berkata Maidam meluluskan RM43,000 bagi bantuan pentadbiran masjid berkenaan.

Katanya, masjid itu akan mula digunakan untuk solat berjemaah esok dan solat Jumaat pada 9 Mei. Pengerusi Jawatankuasa Masjid untuk peringkat awal ini di pegang oleh Pegawai Agama Daerah Besut, Ahmad Azhar Harun.

No comments:

Post a Comment